ARKIB : 06/03/1999
PEMAIN negara, Mohd. Nor Derus
mengawal bola sambil cuba dihalang tiga pemain Jepun pada perlawanan Kumpulan B
Kejohanan Bola Sepak Lima Sepasukan Asia (Futsal) di Stadium Negara, Kuala
Lumpur, semalam yang berkesudahan seri 5-5. - Gambar SAIFUL NIZAM.
MALAYSIA cemerlang pada
perlawanan pertama apabila mengikat Jepun 5-5 tetapi skuad negara bukan
tandingan Uzbekistan yang menang 11-4 pada perlawanan kedua Kejohanan Bola
Sepak Lima Sepasukan Asia (Futsal) di Stadium Negara, Kuala Lumpur, semalam,
lapor JOHARI SHAWAL.
Kekalahan di tangan Uzbekistan
itu sekali gus menyempitkan laluan skuad negara ke separuh akhir. Malaysia
bakal bertemu pilihan utama kejohanan, Kazakhstan pada perlawanan terakhirnya
dalam Kumpulan B, esok.
Kemenangan ke atas Kazakhstan
dianggap amat mustahil, apa lagi sesudah pasukan itu menundukkan Uzbekistan 3-2
pada perlawanan pembukaan pada sebelah pagi.
Begitu pun jurulatih
kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim menyalahkan faktor kurang rehat skuad negara
untuk perlawanan kedua selepas berhempas pulas menentang Jepun pada sebelah
pagi.
''Kita hanya mendapat rehat dua
jam selepas bertemu Jepun berbanding Uzbekistan yang mendapat tempoh rehat yang
lebih panjang.
''Kita sepatutnya bermain
perlawanan kedua ini pada sebelah malam,'' katanya.
Selain faktor itu Abdul Rahman
berkata, skuad negara turun pada perlawanan kedua dengan rasa terlalu yakin
selepas berjaya mengejutkan Jepun.
''Seri dengan Jepun menyebabkan
pemain kita rasa terlalu yakin dapat mengulanginya ke atas Uzbekistan... itulah
kelemahan kita.
''Sebab itulah mereka mendapat
empat gol pertama dengan mudah,'' katanya.
Uzbekistan, yang sudah lama
mempunyai liga Futsal di negara mereka, mendahului 5-1 pada separuh masa
pertama dan menambah tujuh lagi gol pada babak kedua.
Vahitov Rinat menyumbat empat
gol manakala Khalmukhamedov tiga, Mamedov Anvar dua dan Korolev Aleksandr dan
Kudratov Furkat masing-masing menjaringkan satu gol.
Gol skuad negara dijaringkan
Nazzab Hidzan, Yap Wai Loon, B. Rajinikandh dan Idris Karim.
Skil individu tinggi serta
kepantasan pemain Uzbekistan menjadi perbezaan ketara, faktor utama yang
menyumbang kekalahan skuad negara.
Abdul Rahman mengakui hakikat
itu dan menambah corak permainan pantas Uzbekistan memang memberi masalah
kepada pertahanan Malaysia.
''Pemain kita sebenarnya belum
ada persefahaman yang baik antara sesama mereka. Mereka begitu sukar memecah
benteng lawan walaupun kita juga kerap menyerang,'' katanya.
Mengenai perlawanan dengan
Jepun, Abdul Rahman berkata beliau agak terkejut dengan persembahan pasukan
lawan itu.
''Jepun nampak seperti tidak
bermain pada tahap mereka yang sebenarnya,'' kata beliau.
Dalam perlawanan dengan Jepun,
jaringan pada minit akhir oleh Meor Nor Shamsul Kamal memberikan satu mata buat
Malaysia.
Penjaring lain skuad negara
ialah Ahmad Shahrul Azhar, Idris, Mohd. Nor Derus dan Nazzab.
Dalam pada itu, Abdul Rahman
turut bimbang dengan kecederaan yang dialami penjaga gol Azmin Azram Abdul Aziz
dan Ng Kok Heng.
''Kok Heng mungkin boleh
beraksi semula tetapi saya tidak tahu nasib Azmin,'' katanya.
Kok Heng mengalami kecederaan
di hidungnya selepas berlaga dengan pemain Uzbekistan manakala Azmin dikhuatiri
retak tempurung lututnya akibat insiden yang sama.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0306&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Q4pJaXFJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan