ARKIB : 25/02/1999
MENTERI Belia dan Sukan, Tan
Sri Muhyiddin Yassin berkata, sudah sampai masanya kementerian beliau dan
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) duduk semeja membincangkan permasalahan
sebenar yang wujud yang menyebabkan kemerosotan mutu bola sepak negara, lapor
JOHARI SHAWAL.
Katanya, sukan bola sepak di
negara ini jelas semakin tenat dan satu usaha harus dicari untuk memartabatkan
semula sukan yang digemari ramai itu.
''Keadaan bola sepak kita
sekarang ini sebenarnya tidak perlu dibahaskan kerana umum sudah mengetahui
kedudukannya.
''Yang penting, semua pihak
harus duduk semeja mencari jalan memperbaiki mutu sukan itu kerana yang jelas,
banyak pihak belum puas hati walaupun FAM sendiri telah berusaha
meningkatkannya.
''Kita sekarang kena lihat
perspektif lebih jauh dan menyeluruh,'' katanya.
Kerana itu kata Muhyiddin, KBS
(Kementerian Belia dan Sukan) dengan kerjasama FAM telah membuat keputusan
untuk mengadakan satu bengkel khusus untuk mengupas permasalahan itu dengan
membincangkan segala aspek tentang bola sepak negara termasuk sejarah dan
pencapaiannya kini.
''Ia akan melibatkan Majlis
Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta wakil negeri-negeri
yang akan diadakan April atau Mei ini.
''Kita sebelum ini telah minta
MSN berbincang dengan FAM mengenai perkara ini dan FAM menerusi (Setiausaha
Agung) Datuk Paul Mony (Samuel) pada dasarnya bersetuju mengadakan bengkel
ini,'' katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada
sidang akhbar selepas menyuarat kementeriannya di pejabatnya di Kuala Lumpur,
semalam.
Menurut Muhyiddin, FAM juga
telah diminta menyediakan kertas kerja atau overview tentang bola sepak dan
telah memilih wakil-wakil tertentu untuk menyediakan kertas kerja seperti itu.
Katanya, kertas kerja itu
melibatkan program-program seperti latihan atau jadual-jadual pertandingan
antarabangsa.
Muhyiddin berkata, bengkel dua
hari yang belum ditetapkan tarikh itu akan menjemput kira-kira 200 peserta
daripada sesiapa sahaja yang berminat, baik pemimpin-pemimpin persatuan bola
sepak, pakar, jurulatih, pemain bahkan media massa.
''Kita jemput semua untuk kita
kongsi pandangan, hujah atau cadangan-cadangan untuk meningkatkan semula mutu
bola sepak negara.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Pu61A7gW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan