Rabu, 30 November 2016

Olimpik 2000 diuji di kejohanan 4 penjuru

ARKIB : 13/04/1999
SEJAUH mana persediaan skuad Olimpik 2000 menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik Sydney, Jun depan bakal terjawab pada Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru yang akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 26 hingga 30 April ini, lapor NORZIE MOHD. KHASBI.

Gergasi Asia Tenggara, Thailand antara pasukan yang bakal menguji skuad negara di kejohanan lima hari itu selain Indonesia dan Filipina.

Skuad negara dituntut untuk mempamer aksi terbaik kerana keputusan kejohanan bakal menjadi pembayang kemampuan sebenarnya mereka pada masa ini.

''Sasaran kami skuad Olimpik 2000 akan memenangi kesemua perlawanan mereka,'' kata pengerusi jawatankuasa penganjur, Datuk Abu Bakar Daud di Wisma FAM, semalam.

''Mereka perlu bangkit dan memanfaatkan kejohanan ini kerana ia penting sebagai persiapan menghadapi pusingan kelayakan Sukan Olimpik,'' katanya lagi.

Menurut Abu Bakar, semua pasukan mengesahkan untuk menghantar skuad Olimpik terbaik kerana kejohanan ini dianggap persiapan terakhir mereka.

Malaysia diletak dalam Kumpulan Enam pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Sydney 2000 bersama-sama Jepun, Hong Kong, Filipina dan Nepal.

Pusingan pertama kelayakan akan diadakan di Hong Kong pada 12 hingga 20 Jun, manakala peringkat kedua berlangsung di Jepun dari 26 Jun hingga 4 Julai.

Sementara itu dalam majlis berasingan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, berkata Malaysia perlu sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan dua terbaik pada Kejohanan Empat Penjuru.

''Jika masuk perlawanan akhir, ia permulaan yang cukup baik bagi skuad Olimpik 2000. Ini adalah kejohanan yang penting untuk melihat kemampuan kita walaupun saingan yang bakal kita hadapi di pusingan kelayakan lebih hebat terutama dari Jepun,'' katanya, yang juga pengurus skuad Olimpik 2000.

Selepas Kejohanan Empat Penjuru, pasukan Olimpik 2000 akan menyertai Jelajah China dari 12 hingga 19 Mei dan Jelajah Asia Barat yang tarikhnya belum ditetapkan lagi.

Tiket Kejohanan Empat Penjuru berharga RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk pelajar sekolah boleh didapati di stadium pada hari pertandingan atau melalui tempahan di pejabat FAM di Kelana Jaya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4RUBO5ulr © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan