27 November 2016 12:22 AM
PEMAIN Harimau Malaysia
melangkah hampa selepas tersingkir daripada saingan Piala AFF akibat kekalahan
1-0 kepada Myanmar, semalam.
YANGON 26 Nov. - Harimau
Malaysia bukan sahaja tidak berjaya mendapatkan kemenangan yang dicari, malah
tumpas 1-0 kepada Myanmar, sekali gus gagal melayakkan diri ke separuh akhir
Piala AFF buat kali pertama dalam tempoh lapan tahun.
Kekalahan itu tidak hanya
mengecewakan penyokong Malaysia, malah meletakkan kedudukan Ketua Jurulatih,
Datuk Ong Kim Swee dalam bahaya kerana gagal mencapai Indeks Prestasi Utama
(KPI) yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu layak
sekurang-kurangnya ke final.
Turun dengan reputasi selaku
juara 2010 dan naib juara dua kali, termasuk dalam edisi terakhir pada 2014,
pasukan negara bagaimanapun gagal menunjukkan kualiti yang sepatutnya,
sebaliknya Myanmar yang tidak pernah layak ke final lebih banyak menguasai
permainan serta mempamer kesungguhan untuk menang.
Walaupun penjaga gol, Khairul
Fahmi Che Mat telah melakukan sedaya upaya untuk mempertahankan gawang Harimau
Malaysia, termasuk menyelamatkan sepakan penalti tuan rumah di awal permainan,
namun jaringan David Htan, seminit sebelum tamat perlawanan memusnahkan
segala-galanya.
Sejurus tamat permainan, Kim
Swee mengakui, beliau gagal memenuhi KPI yang ditetapkan FAM dan menyerahkan
nasibnya kepada badan bola sepak itu.
“Bagi saya ini satu kegagalan
kerana saya diletakkan KPI (ke final) dan apabila kita tidak layak ke separuh
akhir ini bermakna saya gagal.
“Bagaimanapun saya tidak tertekan
sebaliknya perlu memikirkan bagaimana untuk menyempurnakan dua lagi KPI yang
ditetapkan kepada saya.
“Setiap pekerjaan mempunyai
tekanan dan kerja saya adalah jurulatih skuad kebangsaan dan sudah pasti saya
perlu menghadapi tekanan seperti ini.
“Inilah apa yang perlu kita
lalui. Kita berjuang sehingga tamat permainan dan saya tidak boleh minta
apa-apa lagi dari pemain,” katanya.
Kim Swee masih mempunyai dua
lagi misi dalam KPI iaitu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dan
memperbaiki ranking dunia dengan menghuni sekurang-kurangnya kedudukan 140.
Sementara itu jurulatih
Myanmar, Zeise gembira membantu pasukannya ke separuh akhir buat kali pertama
sejak 2004.
“Kami layak menang. Kami boleh
matikan permainan pada babak pertama namun tidak melakukannya," katanya.
Sumber-- See more at:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/harimau-malaysia-mengecewakan-1.412699#sthash.gMcLP00i.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan