KIM SWEE (tiga dari kiri)
memberi taklimat kepada barisan pemainnya menjelang aksi menentang Vietnam hari
ini.
YANGON, Myanmar – Skuad Harimau
Malaysia berdepan ujian getir apabila turun membuat perhitungan dengan Vietnam
pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2016 di
Stadium Thuwunna di sini hari ini.
Ia juga bakal menentukan siapa
jaguh sebenar Kumpulan B walaupun Vietnam yang terkenal dengan jolokan The
Golden Stars, dilabel sebagai pasukan pilihan berbanding skuad Harimau
Malaysia.
Atas kertas, Vietnam tetap
pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini, lebih-lebih lagi selepas mudah
menewaskan pasukan tuan rumah, Myanmar 2-1 pada aksi pertama Kumpulan B, Ahad
lalu, manakala Malaysia pula hampir menerima aib walaupun menang 3-2 ke atas
Kemboja.
Walaupun menyedari tugas sukar
menanti mereka, namun barisan pemain negara tetap tidak gentar, malah bertekad
untuk meraih kemenangan pada perlawanan penting itu.
Kemenangan akan mengesahkan
tempat mereka ke peringkat separuh akhir lebih awal tanpa menunggu aksi
terakhir peringkat kumpulan menentang Myanmar nanti.
Vietnam dan Harimau Malaysia
kini disebut-sebut antara pasukan yang akan layak ke pusingan separuh akhir
tetapi buat pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee, beliau lebih berminat untuk
memberikan fokus satu demi satu perlawanan sebelum memikirkan sasarannya.
Apa yang menarik perhatian Kim
Swee adalah semangat perjuangan yang ada pada diri semua pemain negara yang
bangkit dua kali selepas ketinggalan ketika menewaskan Kemboja, sekali gus
berjaya menamatkan badi gagal memenangi perlawanan pembukaan Piala AFF Suzuki
sejak 2008.
Bagaimanapun, pengendali
berusia 45 tahun itu berharap situasi akan bertambah baik ketika berdepan
Vietnam nanti.
“Ia sesuatu yang bagus apabila
para pemain menunjukkan karektor sebenar. Kita bangkit mengejar selepas
ketinggalan dua kali dan bukan mudah bermain dalam keadaan cuaca panas.
“Namun, perkara itu sudah
berlalu dan perlawanan dengan Vietnam sudah pasti menjadi aksi yang berbeza.
Saya berharap kita tidak ketinggalan lagi kerana ia akan menyebabkan kita
terpaksa berusaha lebih keras. Jadi, saya berharap kita bermula dengan positif
pada aksi menentang Vietnam nanti,” kata Kim Swee pada sidang akhbar di hotel
Novotel Yangon Max di sini semalam
Tambah Kim Swee, beliau tidak
berminat untuk memberikan tekanan kepada anak-anak buahnya meskipun mengakui
sasaran utama mereka adalah untuk meraih tiga mata penuh.
“Apa yang berlaku esok (hari
ini) tidak menjanjikan apa-apa kerana kita masih ada satu lagi perlawanan untuk
diharungi. Vietnam kali ini adalah pasukan berbeza, mereka sudah lama bersama
untuk melakukan persiapan rapi. Jadi, kita cuba untuk tidak memberi laluan
mudah kepada mereka,” ujarnya.
Ketika ditanya adakah beliau
akan melakukan rombakan pada bahagian pertahanan, Kim Swee bagaimanapun enggan
mendedahkan rahsia itu yang sebelum ini menurunkan Shahrom Kalam, Shahrul Saad,
Matthew Davies dan Rizal Ghazali.
“Memang kita ada kelemahan di
bahagian pertahanan tetapi kita akan cuba memperbaikinya. Kita ada 23 pemain
untuk dipilih membarisi kesebelasan utama nanti,” katanya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4QnqOlGmv
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan