Ahad, 13 November 2016

Skuad Piala Dunhill dikekalkan

ARKIB : 07/02/1999
SKUAD bola sepak kebangsaan akan terus dikekalkan walaupun gagal mencatat kemenangan dalam cubaan pertamanya di pentas antarabangsa ketika beraksi pada Kejohanan Piala Dunhill di Ho Chi Minh, lapor BORHAN ABU SAMAH.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, skuad itu perlu diberi masa kerana persiapan selama dua bulan untuk menghadapi cabaran yang cukup besar itu bukanlah ukuran sebenar kemampuan pasukan.

Tambah baginda, pasukan yang dibimbing oleh jurulatih Abdul Rahman Ibrahim itu dibarisi oleh para pemain yang masih muda dan kurang pengalaman.

Bagaimanapun, ujar Tengku Abdullah, dengan pendedahan yang cukup daripada segi latihan dan taktikal di peringkat antarabangsa akan menjadikan mereka matang dengan cekap.

Oleh itu, kata baginda, perancangan sedang dibuat memperbanyakkan lagi perlawanan persahabatan dan menyertai kejohanan peringkat antarabangsa.

''Kita akan atur lebih banyak pendedahan melalui kejohanan belia di peringkat antarabangsa bukan sahaja kepada pasukan kebangsaan sahaja tetapi juga kepada pasukan pelapis.

''Kita akan terus memberi sokongan dan peluang kepada pasukan ini di samping berharap lebih ramai pemain muda yang berani dan bersemangat akan tampil untuk memikul tugas ini,'' kata baginda.

Tambah baginda, pemain-pemain muda perlu menampilkan diri dan tidak hanya menjadi jaguh kampung tetapi meletakkan sasaran utama untuk bermain di peringkat antarabangsa.

Selain itu, tegas baginda, Liga Malaysia juga perlu dikaji semula kerana kelemahan pasukan kebangsaan sedikit sebanyak berpunca daripada kelemahan liga tempatan.

Menurut baginda, jika liga tempatan tidak dapat dinaikkan mutunya, pasukan kebangsaan akan terus menghadapi masalah untuk mencapai kejayaan. Oleh itu komen-komen yang diberikan oleh pengurus dan jurulatih pasukan kebangsaan itu akan diberi perhatian .

Menjawab soalan, baginda berkata, dalam perhatian, pemain skuad kebangsaan yang dibentuk itu mempunyai semangat juang yang tinggi.

''Saya tidak tahu keadaan sebenarnya, tetapi adalah malang jika ada pemain seperti ini (tidak berminat bermain dengan pasukan negara),'' kata baginda sambil menambah pemain sedemikian perlu membetulkan sikap tersebut.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Pse5vHUc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan