Khamis, 17 November 2016

Jangan gentar

AMRI (kanan) mahu rakan fokus setiap perlawanan.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kapten Harimau Malaysia Mohd Amri Yahyah menggesa pemain bakal tampil buat kali pertama di pentas Piala AFF 2016 supaya lebih tenang.

Lebih separuh daripada 23 pemain yang membarisi skuad kebangsaan ke Yangon, Myanmar semalam adalah pemain yang tidak pernah bermain di kejohanan paling berprestij di rantau Asia Tenggara ini.


Ini dianggap pertaruhan berani pengendali Datuk Ong Kim Swee yang diberikan sasaran tinggi untuk sekurang-kurangnya melangkah ke final seperti edisi dua tahun lalu.

Bagi Amri, 35, yang sudah beraksi dalam empat kejohanan Piala AFF tetap yakin dengan kombinasi pemain skuad kali ini.

“Ketika latihan semua pemain memberikan komitmen tinggi. Pemain yang baru beraksi dan tidak pernah beraksi di peringkat antarabangsa juga tidak ada masalah bersama pasukan.

“Cuma saya berharap mereka lebih tenang dalam perlawanan nanti dan juga memberi fokus,” katanya.

Antara pemain yang bakal membuat penampilan pertama di pentas Piala AFF ialah pemain pertahanan Mohd Rizal Ghazali, Shahrul Saad, pemain tengah Irfan Fazail dan penyerang Darren Lok.

Harimau Malaysia diletakkan sasaran untuk melangkah ke final namun mereka mahu memberi tumpuan kepada saingan peringkat Kumpulan B untuk mara ke separuh akhir.

“Tekanan sentiasa ada, bagi saya itu cabaran buat semua pemain dan kita hanya fokus satu demi satu perlawanan terlebih dulu,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 9:01 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan