Ahad, 13 November 2016

FAM terus bekukan pemain import


 

ARKIB : 28/02/1999
TENGKU Abdullah Sultan Ahmad Shah (kiri) memberi kata-kata perangsang kepada para pemain Akademik Bola Sepak Johor sewaktu lawatan di Stadium Larkin, Johor Bahru semalam. - Gambar RAJA JAAFAR ALI.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak akan membuka pintu kepada pemain-pemain import untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun lagi, lapor ISHAK SALLEH.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pembekuan untuk pasukan-pasukan negeri menggunakan pemain import akan berjalan untuk tempoh tiga tahun mulai tahun ini.

Beliau berkata, FAM akan membuat satu kajian semula mengenai sama ada perlu atau tidak khidmat pemain import itu selepas tempoh tiga tahun tersebut.

Tengku Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Kompleks Sukan Perbadanan Johor di Tebrau, Johor, semalam.

Beliau turut melawat Akademi Bola Sepak Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) di Stadium Larkin.

Keputusan FAM untuk tidak menggunakan khidmat pemain import dalam Liga Malaysia musim ini telah dilakukan pada akhir tahun lalu ekoran daripada kegawatan ekonomi negara.

Sementara itu, sewaktu berucap di Akademi Bola Sepak, Tengku Abdullah berkata, setiap pemain perlu menunjukkan sikap sebagai seorang pemain profesional dalam setiap aspek.

Katanya, setiap pemain perlu menunjukkan disiplin tinggi sama ada berada dalam padang ataupun tidak dan ia perlu dilakukan tanpa tekanan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Pu9HUjCj © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan