BARISAN pemain Harimau Malaysia
perlu atasi segera segala kelemahan yang ada sebelum memulakan kempen pada
Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar minggu depan.
CENGKAMAN Harimau Malaysia
masih belum cukup berbisa. Mereka seolah-olah hilang sengat dan masih banyak
kelemahan perlu diatasi andai mahu tampil garang pada kempen Piala AFF Suzuki
2016 yang akan bermula di Yangon, Myanmar, Ahad ini.
Berdasarkan rentak yang
dipamerkan pada aksi persahabatan menentang Papua New Guinea (PNG) di Stadium
Shah Alam semalam, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee (gambar kecil) itu wajar
berasa bimbang kerana saingan pada Piala AFF Suzuki nanti tidak semudah yang
dijangkakan.
Walaupun skuad negara menang
2-1 ke atas PNG semalam tetapi cara kemenangan yang mereka peroleh itu tidak
begitu meyakinkan kerana jentera serangan belum menampakkan keserasian untuk
tampil selaku pemusnah digeruni.
Lebih membimbangkan, PNG yang
menang 2-0 pada aksi persahabatan pertama, Jun lalu, mendahului 1-0 seawal
minit keenam menerusi Nigel Dabinyaba dan ini membuktikan ada sesuatu yang
tidak kena pada posisi pertahanan skuad Harimau Malaysia.
Walaupun perlawanan tersebut
sekadar aksi ‘pemanas badan’ sebelum skuad negara berlepas ke Yangon, namun
barisan pemain negara seharusnya lebih kreatif bagi membuktikan bahawa mereka
sudah bersedia untuk turun bertempur.
Andai tidak dihadiahkan sepakan
penalti yang disempurnakan dengan baik oleh Amri Yahyah pada minit ke-47, sudah
pastinya perlawanan tersebut berkesudahan seri 1-1 selepas Ahmad Hazwan Bakri
menyamakan kedudukan ketika permainan memasuki minit ke-20.
Begitupun, Kim Swee tetap puas
hati dengan apa yang dicapai oleh skuad kendaliannya itu.
“Secara keseluruhannya agak
memuaskan tetapi masih ada kelemahan yang dikenal pasti. Kami akan terus
berusaha untuk mengatasinya sebelum bermulanya kempen Piala AFF Suzuki nanti,”
jelas Kim Swee.
Skuad negara yang akan berlepas
ke Yangon esok diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Kemboja, Vietnam dan tuan
rumah, Myanmar.
Mereka akan memulakan kempen
menentang Kemboja pada 20 November ini.
Sumber-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4Q53lfSF3
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan