Enggan ulas kemungkinan kembali
ke pangkuan Selangor
FADHILUL IZMEL ISHAK MELAPORKAN
DARI YANGON | 18 November 2016 12:21 AM
Amri Yahyah
Yangon 17 Nov. - Ketua pasukan
Harimau Malaysia, Mohd. Amri Yahyah hanya mahu memberi fokus terhadap misi
di Myanmar ketika ini dan bukan hal lain termasuk kariernya di peringkat
kelab.
Desas-desus mengatakan
penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu akan kembali ke pangkuan Selangor,
pasukan yang menggilapnya menjadi pemain yang disanjung, pada musim depan
tetapi Amri berkata ketika ini mentalnya dipersiapkan untuk mengetuai barisan
skuad negara menghadapi kempen Piala AFF di Yangon.
Amri berkata dia tidak mahu
memikirkan masa depannya buat sementara waktu apabila dia sedang bersama skuad
kebangsaan yang akan memulakan kempen dalam Piala AFF dengan menentang Kemboja
di Stadium Thwunna pada Ahad ini.
Semalam Tunku Mahkota Johor
(TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata dalam laman Facebook Johor Southern
Tigers (JST) bahawa pemain berusia 35 tahun itu bakal kembali ke pangkuan Red
Giants yang menawarkan harga RM150,000 untuk mendapatkan Amri.
Pemilik JDT itu juga berkata
pihaknya sudah menghantar surat kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk
mendapatkan khidmat Ahmad Hazwan Bakri.
“Saya minta maaf saya tidak
boleh membuat sebarang kenyataan. Saya mahu memberi tumpuan kepada Piala AFF
terlebih dahulu. Selepas itu barulah saya akan memikirkan mengenai masa depan
saya pada musim hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Stadium Aung San
di mana Harimau Malaysia menjalani latihan hari ini.
Amri turut enggan mendedahkan
tempoh tamat kontraknya bersama JDT kerana menyifatkan isu kontrak bersama majikan
sesuatu perkara yang tidak boleh dikongsi kepada umum.
Mengulas lanjut mengenai
persiapan skuad kebangsaan menjelang pertemuan dengan Kemboja dalam perlawanan
pertama Kumpulan B, Amri berkata dia tidak pernah menentang pasukan tersebut
namun mengetahui lawan yang bakal dihadapi menggunakan corak permainan pantas.
“Semua pemain berada dalam
keadaan sihat dan kami sedang menyesuaikan diri (dengan cuaca) sebelum
menghadapi perlawanan pertama. Bagi saya Kemboja seperti pasukan lain iaitu
Myanmar dan Vietnam.
“Apa yang saya tahu mereka
bermain laju dengan kami perlu menghalang mereka menerapkan corak taktikal yang
mereka kehendaki. Saya tidak pernah beraksi menentang Kemboja namun sebelum
menghadapi mereka kami akan menonton rakaman video terlebih dahulu,” katanya
lagi.
Sementara itu, penyerang
Selangor, Hazwan juga enggan mengulas mengenai masa depannya bersama Selangor
selepas turut dikaitkan bakal berhijrah ke JDT pada musim depan.
“Saya tidak mahu memberi
kenyataan sebab saya nak fokus kepada Piala AFF, lagipun saya masih mempunyai
kontrak selama setahun bersama Selangor iaitu tamat pada 2017. Saya kena
hormati majikan,” katanya. – UTUSAN
SUMBER- See more at:
https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/amri-hanya-fokus-piala-aff-1.408911#sthash.N0ptgSmD.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan