ARKIB : 30/03/1999
DULU pasukan bola sepak
Malaysia dianggap sebagai 'gergasi' di benua Asia. Sekarang ia tidak lagi
diberi kedudukan yang sama, malah taraf skuad itu semakin menurun dari tahun ke
tahun.
Berdasarkan ranking terbaru
yang dikeluarkan oleh badan dunia - Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)
_ Malaysia sekarang berada di tangga ke-113.
Malah, di Asia Tenggara juga
kedudukan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia begitu mengecewakan. Lima anak
tangga di atas Malaysia ialah Vietnam, sebuah pasukan yang baru beberapa tahun
lalu memulakan proses memajukan bola sepak negara itu.
Negara jiran, Thailand masih
lagi merupakan pasukan terbaik dari Asia Tenggara, di tangga ke-68 dengan
jumlah 454 mata manakala Singapura walaupun tidak konsisten di arena bola sepak
antarabangsa menduduki tangga ke-95.
Jepun, Korea Selatan dan
Ukraine kekal sebagai pasukan terbaik Asia apabila ketiga-tiga pasukan itu
berkongsi tempat ke-36.
Keadaan ini amat mencemaskan.
Seharusnya mutu bola sepak negara meningkat kerana Liga Profesional yang
merupakan antara yang terbaik di Asia, dari segi penganjurannya.
Malah, kekalahan demi kekalahan
yang dialami di peringkat antarabangsa amat memalukan peminat bola sepak negara
yang kini seolah-olah menunjukkan kemarahan dengan tidak menonton pertandingan
domestik.
Perangkaan menunjukkan bahawa
jumlah penonton di setiap stadium amat berkurangan musim ini.
Pihak kerajaan juga menyatakan
kebimbangan dengan kemerosotan ini dan atas sebab itu Kementerian Belia dan
Sukan mencadangkan supaya pakar-pakar bola sepak dari England dan Jerman dibawa
bagi mengesan dan mencari punca kemerosotan ini.
Tindakan pihak Kementerian
Belia dan Sukan ini adalah bertujuan membantu badan induk, Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) memperbaiki keadaan dan memulihkan imej sukan itu.
Selain mendapat pandangan
pakar, ada baiknya juga KBS dan FAM 'mendengar' syor dan pandangan bekas-bekas
pemain bola sepak, terutama yang pernah mencipta nama sebagai pemain bertaraf
antarabngsa.
Sering pandangan bekas pemain
dan pemerhati diminta bila berlaku sesuatu keadaan seperti ini tetapi jarang
syor kumpulan ini dilaksanakan.
Ini mungkin disebabkan mereka
yang mentadbir menganggap hanya pandangan mereka yang tepat.
Dalam kata-kata lain, perubahan
sikap semua yang terbabit adalah penting bagi seminar ini mencapai matlamat
sebenarnya. Jika tidak, ia akan menjadi satu episod yang sia-sia dan merugikan.
Pucuk pimpinan FAM, selaku
badan induk bola sepak negara, perlu juga bersikap terbuka dan bersedia
melaksanakan sebarang cadangan yang boleh menangani masalah kemerosotan mutu
bola sepak negara ini.
Pada tahun-tahun akan datang
kebanyakan negara Asia dijangka akan melipatgandakan usaha meningkatkan mutu
bola sepak masing-masing.
Jika tidak serius atau
hati-hati keadaan akan bertambah buruk. Atas sebab itu, sebarang usaha yang
dijalankan sekarang bagi memulih keadaan, perlu sokongan oleh semua pihak,
khususnya FAM. - Oleh JOE MARCOSE
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RP25VbLN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan