Jumaat, 18 November 2016

Lupakan dahulu soal kontrak

FADHILUL IZMEL ISHAK  |  19 November 2016 12:28 AM
PENJAGA gol Khairul Azhan (kanan) bersama Hadin Azman (tengah)
PENJAGA gol Khairul Azhan (kanan) bersama Hadin Azman (tengah) menjalani latihan di Stadium Thuwunna, Yangon semalam untuk persediaan menentang Kemboja dalam kejohanan Piala AFF. UTUSAN
YANGON 18 Nov. - Pengendali Harimau Ma­laysia, Datuk Ong Kim mahu isu perpindahan yang melibatkan pemain skuad kebangsaan diketepikan seketika untuk memberi laluan kepada mereka fokus kepada kempen Piala AFF dengan Malaysia akan memulakan persaingan dengan menentang Kemboja pada Isnin.
Kim Swee berkata beliau boleh memahami musim Liga Malaysia yang telah tamat bermakna pasukan mula memburu pemain yang mereka idamkan untuk memperkuatkan pasukan masing-masing musim depan namun katanya ketika ini pemain skuad kebangsaan perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi kejohanan Piala AFF.
“Ini perkara biasa namun se­perti yang saya selalu katakan apabila kita mempunyai kejohanan di peringkat antarabangsa pemain perlu memikirkan skuad kebangsaan. Kita main untuk bangsa Malaysia dan itu penting untuk melakar kejayaan,” katanya kepada pemberita di Stadium Thuwunna selepas sesi latihan hari ini.
Semalam Utusan Malaysia melaporkan Tunku Ismail berkata di laman Facebook Johor Southern Tigers bahawa pe­nyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd. Am­ri Yahyah dikatakan bakal berhijrah ke Selangor selepas Persa­tuan Bolasepak Se­langor (FAS) menawarkan gaji RM150,000.
Penyerang skuad kebangsaan Ahmad Hazwan Bakri pula dikaitkan bakal berhijrah ke JDT.
Dalam pada itu, Kim Swee turut berkata beliau tidak menganggap pertemuan menentang Kemboja adalah perlawanan yang mudah dan berharap pasukannya dapat memulakan Piala AFF dengan baik.
Untuk rekod, Harimau Malaysia tidak pernah memenangi perlawanan pertama kejohanan ini sejak 2008.
“Perlawanan pada Ahad ini amat bermakna kepada kami. Apa yang pasti kami perlu menggunakan pemain terbaik untuk mendapatkan kemenangan ke­rana dengan cara itu kami boleh meningkatkan lagi motivasi serta keyakinan untuk menghadapi dua perlawanan seterusnya.
“Seperti saya katakan kita tidak boleh mengambil mudah kerana Kemboja sudah melakukan persiapan lebih awal dan te­lah bermain dalam 15 perlawanan antarabangsa sebelum bertemu Harimau Malaysia.
“Jika kita ambil mudah sudah tentu kita akan menerima padah dan saya fikir pemain faham de­ngan situasi ini, yang mana mereka perlu bersedia untuk melakukan kejutan juga,” kata­nya lagi.
Selepas empat hari berada di Myanmar, skuad Harimau Malaysia baru diberi kesempatan untuk menjalani sesi latihan di Stadium Thuwunna pada hari ini di mana venue tersebut bakal digunakan untuk pertemuan Malaysia menentang Kemboja.
Bagaimanapun, Kim Swee tidak melihat perkara itu sebagai masalah kerana sebelum ini skuad kebangsaan pernah beraksi di venue tersebut menentang Myanmar yang berkeseudahan seri tanpa jari­ngan pada Mei lalu.
“Ini latihan pertama kami di sini dan saya difahamkan esok kami me­lakukan latihan di tempat lain tapi itu tidak menjadi masalah kerana kami pernah beraksi di stadium ini.
“Keadaan padang seperti biasa dan kami pernah bertemu Myan­mar di venue yang sama. Saya tidak fikir dengan hanya melakukan sekali sahaja latihan di sini akan menimbulkan masalah kepada kami,” katanya lagi. – UTUSAN
sumber- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/lupakan-dahulu-soal-kontrak-1.409252#sthash.guNWoZXq.dpuf


Tiada ulasan:

Catat Ulasan