Selasa, 29 November 2016

Kim Swee perlu berundur

Jurulatih itu lebih sesuai menyandang jawatan selaku pegawai teknikal
SUFIAN HADI SOJAK  |  29 November 2016 12:16 AM

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menyarankan pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee berundur daripada jawatannya setelah gagal mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam kempen Piala AFF, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Raja Ahmad berkata, kepakaran Kim Swee pada hematnya lebih sesuai untuk diletakkan selaku pegawai teknikal Harimau Malaysia selepas ini.
Menurut beliau, jika pengunduran itu berlaku, FAM perlu berusaha mencari pengganti Kim Swee bagi membentuk sebuah skuad berwajah baharu untuk menghadapi kelayakan pusingan akhir Piala Asia 2019 pada Mac tahun depan.
“Semua telah terjadi, apa pun Kim Swee harus bertanggung jawab dalam hal ini. Bagi saya, FAM seharusnya mencari jurulatih baharu yang lebih berkualiti dan berpengalaman. Tak kisah pengendali itu dari mana (dalam atau pun luar negara).
“Kalau kita nak berjaya, kita perlu ambil risiko melabur dengan lebih besar. Kita masih ada masa untuk membina skuad baharu menerusi jurulatih baharu bagi menghadapi saingan seterusnya,” katanya ketika dihubu­ngi di sini, hari ini.
Selain perlu layak ke babak akhir Piala AFF Suzuki, FAM turut menetapkan dua lagi KPI buat Kim Swee termasuk mara ke kelayakan pusingan akhir Piala Asia 2019 dan meletakkan Malaysia ke ranking 140 dunia.
KPI Kim Swee membawa Harimau Malaysia ke final Piala AFF terhenti di Yangon selepas skuad kebangsaan tewas 0-1 kepada tuan rumah Myanmar pada perlawanan terakhir Kumpulan B, Sabtu lalu.
Sementara itu, Raja Ahmad turut menyarankan agar Harimau Malaysia lebih berani mengambil risiko dengan menyenaraikan pemain muda berbakat menerusi kerjasama daripada setiap pasukan di negara ini.
“Saya cadangkan agar setiap pasukan di negara kita menyenaraikan pemain hebat mereka dan seterusnya menjalani sesi pemilihan skuad kebangsaan. Saya yakin kita ada ramai lagi pemain muda berkualiti.
“Biar jurulatih baharu itu memilih sendiri pemainnya dan terserah kepada dia untuk menerapkan gaya permainan yang paling sesuai buat Malaysia,” katanya
Dalam pada itu, Raja Ahmad turut mencabar Harimau Malaysia berdepan dengan pasukan yang lebih tinggi kedudukan ranking dunia dalam usaha menimba pengalaman, selain mampu mempelajari sesuatu daripada perlawanan tersebut.
“Kita tak payah lawan pasukan yang rendah rankingnya sebab kita tidak akan dapat manfaat besar. Lagi pun, naik turun kedudukan ranking itu perkara biasa,” tegasnya.

sumber- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-perlu-berundur-1.413558#sthash.vSm0Bxcw.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan