Jumaat, 18 November 2016

Hazwan hormati kontrak, enggan fikir spekulasi perpindahan

 
HAZWAN (tiga kiri) mahu fokus aksi AFF terlebih dahulu.
 “Saya tak mahu fikir lagi,” tegas penyerang Selangor Ahmad Hazwan Bakri yang enggan melayan spekulasi perpindahannya ke Johor Darul Ta’zim (Johor DT) ketika dia mahu memberikan tumpuan kepada misi Harimau Malaysia dalam kempen Piala AFF 2016 di Yangon, Myanmar.

Pemain berusia 25 tahun itu kini dilaporkan menjadi buruan kelab juara Liga Super bagi memantapkan pasukan mengharungi Liga Malaysia tahun depan.

Bagaimanapun Hazwan tidak mahu memikirkan mengenai hasrat Johor DT itu kerana masih mempunyai kontrak bersama skuad Red Giants.


“Saya tak mahu fikir berkenaan perkara itu kerana keutamaan saya ketika ini adalah memberi fokus sepenuhnya terhadap skuad kebangsaan.

“Saya harap semua orang faham dengan tugas saya ketika ini. Malah, saya menghormati kontrak saya bersama Selangor yang masih berbaki setahun lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan semalam.

Spekulasi perpindahan Hazwan timbul selepas pemilik Johor DT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan pihaknya akan menghantar surat rasmi kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam usaha mendapatkan khidmat Hazwan.

Tindakan itu dianggap langkah agresif Johor DT selepas menandatangani kontrak tonggak tengah Selangor Muhammad Nazmi Faiz Mansor namun bekas pemain kelab Portugal SC Beira-Mar itu bakal dihantar menyertai salah sebuah kelab Jepun bagi tujuan pendedahan.

Hazwan yang bakal tampil pada Piala AFF kedua selepas bersama pasukan naib juara dua tahun lalu berkata, ia cabaran berbeza dilalui kali ini.

“Memang cuaca di sini agak panas dan itu cabaran perlu diharungi. Apapun itu bukan alasan untuk tidak mempamerkan persembahan terbaik,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 10:38 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan