Selasa, 15 November 2016

Rahman kecewa Malaysia kandas awal

ARKIB : 09/03/1999
ABDUL Rahman Ibrahim mengakui kegagalan Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan Futsal Asia pertama, menjejaskan reputasinya selaku jurulatih skuad bola sepak kebangsaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan persembahan itu tidak wajar disamakan dengan skuad bola sepak padang, yang dibimbingnya.

''Saya diminta mengajar sesuatu yang baru, wajarkah saya dipersalahkan kerana kegagalan ini''?, katanya, selepas menyaksikan Malaysia mengalami kekalahan kedua Kumpulan B.

Menurut Abdul Rahman, skuad negara masih dalam proses pembelajaran dan tidak harus diletakkan sasaran terlalu tinggi pada kejohanan ini.

''Kita mempunyai kemampuan untuk mengawal permainan, tetapi kita terlalu jauh dari segi teknik, ini adalah kelemahan utama pasukan negara.''

Katanya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mengadakan satu liga khas, jika mereka serius untuk menubuhkan sebuah skuad Futsal bertaraf antarabangsa.

''Saya fikir kita tidak menghadapi masalah untuk menganjur kejohanan tempatan, kerana kita mempunyai dewan yang banyak di negara ini,'' katanya.

Menurut Abdul Rahman, Malaysia perlu mempunyai dua pasukan yang berbeza untuk Futsal dan bola sepak padang, kerana ia akan menjejaskan persembahan salah satu pasukan.

''Pemain yang beraksi untuk Futsal dan bola sepak padang tidak harus datang dari skuad yang sama, dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan negara lain.

''Saya fikir Malaysia ada kemampuan untuk pergi jauh, jika mereka benar-benar memberi tumpuan kepada sukan ini,'' katanya lagi.

Malaysia berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia Futsal di Sepanyol dua tahun lalu, selepas melepasi pusingan kelayakan yang hanya dibarisi Brunei dan Vietnam.

''Tidak adil untuk menyamakan skuad ketika itu dan pada masa ini kerana kita menghadapi saingan yang berbeza kekuatannya,'' katanya lagi.

Pada kejohanan ini, Malaysia hanya beraksi tiga perlawanan. Keputusan yang boleh dibanggakan ialah ketika seri 5-5 menentang Jepun, yang membariskan pemain-pemain profesional dalam Liga-J.

Begitupun, pasukan negara terpaksa akur kepada kehebatan Uzbekistan apabila dibelasah 10-2.

Pada perlawanan berikutnya, Malaysia tewas 8-2 kepada sebuah lagi negara bekas Soviet, Kazakhstan.

Kejohanan selama enam hari itu disertai lapan negara - Kyrgyzstan, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Iran, Uzbekistan, Kazakhstan, Jepun dan Malaysia selaku tuan rumah.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0309&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Q9ivzkVT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan