Ahad, 13 November 2016

Skuad Abdul Rahman dikekalkan

ARKIB : 20/02/1999
SKUAD bola sepak kebangsaan yang dibimbing jurulatih Abdul Rahman Ibrahim akan dikekalkan dan pasukan itu akan meneruskan program-program latihan yang ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, walaupun peraturan baru Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan pasukan kebangsaan di bawah gabungannya hanya menggunakan pemain di bawah umur 23 tahun pada kejohanan serantau, pasukan senior kebangsaan akan tetap dikekalkan.

''Skuad ini akan terus dikekalkan untuk program-program kejohanan membabitkan pasukan senior kebangsaan seperti Piala Asia dan Piala Dunia.

''Mereka akan terus mengadakan perlawanan-perlawanan persahabatan seperti yang ditetapkan FAM,'' katanya semasa meninjau latihan skuad Olimpik 2000 dan Futsal kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

AFC dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutifnya di Kuala Lumpur minggu lalu memutuskan semua kejohanan serantau seperti Sukan Asia dan Sukan SEA hanya membabitkan pasukan kebangsaan bawah umur 23 tahun, kecuali Piala Asia dan Piala Dunia.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Peter Velappan berkata, peraturan baru itu telah dimaklumkan kepada semua persatuan kebangsaan dan berkuat kuasa serta merta membabitkan semua kejohanan bermula tahun ini.

Begitu pun, peraturan itu menimbulkan tanda tanya mengenai skuad senior kendalian Abdul Rahman yang sebahagian besar pemainnya berumur lebih 23 tahun dan wujud anggapan bahawa skuad itu akan dibubarkan dan digantikan dengan skuad junior yang sedia ada, Olimpik 2000 kendalian Hatem Souissi.

Bagaimanapun, kenyataan Tengku Abdullah semalam bermakna Abdul Rahman akan terus membimbing pasukan kebangsaan yang di bawah kendaliannya kini.

Namun, masalah lain pula timbul apabila Brunei, yang bakal menganjurkan Sukan SEA XX pada Ogos ini, mendakwa mereka tidak bersedia untuk mengadakan pasukan bawah 23 tahun dan menghadapi masalah jika bola sepak pada temasya itu terpaksa mengikut peraturan itu.

''Brunei mempunyai alasan untuk membantah keputusan itu tetapi AFC akan meneliti semula sama ada permintaan Brunei untuk terus menggunakan pasukan kebangsaan dalam temasya itu boleh dibenarkan,'' katanya.

Tengku Abdullah baru dilantik sebagai Pengerusi Dalam Jawatankuasa Teknikal AFC dan beliau akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat ini untuk membincangkan isu itu.

Ditanya sama ada pengekalan skuad senior akan menambahkan bebanan kepada FAM kerana tiada sebarang kejohanan besar lagi yang akan disertai selain Piala Asia dan Piala Dunia, Tengku Abdullah berkata:

''Kita bukannya pasukan kelas pertama. Kalau ada lebih banyak pasukan lebih bagus.''

Bagaimanapun, Tengku Abdullah menambah, pada pandangan peribadinya, beliau lebih berminat pasukan bawah 23 negara dihantar menyertai sebarang kejohanan di rantau ini.

Dalam pada itu, Tengku Abdullah berkata Pesta Bola Merdeka yang suatu ketika dulu menjadi kebanggaan di negara ini akan dihidupkan semula.

''Bagaimanapun, ia akan diwujudkan mengikut konsep baru supaya ia setanding dengan kejohanan seperti Piala Dunhill yang membabitkan pasukan-pasukan dari luar Asia,'' katanya.

Menurut beliau, kejohanan itu boleh diadakan sekali dalam tempoh satu atau dua tahun.

Oleh: JOHARI SHAWAL

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PtZ5Eafp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan