Selasa, 22 November 2016

Malaysia hanya mahu menang

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee (dua dari kiri) bersalaman dengan ketua jurulatih Vietnam, Nguyeen Huu Thang pada sidang akhbar di hotel Novotel Yangon Max, Myanmar semalam. Turut hadir kapten skuad negara, Amri Yahyah (kiri) dan ketua pasukan Vietnam, Le Cong Vinh.

YANGON, Myanmar – “Kami hanya mahu menang. Satu mata belum cukup untuk mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir. Bukan nak cakap ‘besar’ tetapi itulah hakikatnya kerana hanya kemenangan akan menjamin kedudukan kami untuk ke separuh akhir”.

Demikian tegas kapten skuad Harimau Malaysia, Amri Yahyah menjelang aksi menentang Vietnam pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan B kempen Piala AFF Suzuki 2016 di Stadium Thuwunna hari ini.

Menurut Amri, andai perlawanan berkesudahan seri, ia masih belum cukup selesa buat mereka memburu tempat ke pusingan separuh akhir.

Walaupun menyedari Vietnam tampil selaku pasukan pilihan dalam Kumpulan B, namun ia tidak mengundang gentar buat pasukan Harimau Malaysia, sebaliknya mereka lebih bersemangat untuk memastikan lawan mereka itu tersungkur seperti mana yang berlaku pada aksi separuh akhir kedua kejohanan yang sama di Hanoi dua tahun lalu.

Dalam pertemuan itu, skuad negara menang 4-2 selepas tewas 1-2 pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam.

“Dengan keyakinan tinggi yang ada pada semua pemain Harimau Malaysia sekarang, saya percaya kami mampu meraih keputusan positif.

“Kami perlu mendapatkan tiga mata penuh untuk mengesahkan tempat lebih awal ke separuh akhir. Kami juga menganggap aksi menentang Vietnam esok (hari ini) ibarat perlawanan akhir,” jelas Amri pada sidang akhbar di hotel Novotel Yangon Max di sini semalam.

Tambah Amri lagi, keputusan seri hanya akan menyukarkan peluang skuad negara untuk melepasi peringkat kumpulan kerana mereka akan menentang pasukan tuan rumah, Myanmar pada aksi terakhir, Sabtu ini.

“Sebab itu kami perlu menang. Tiada guna kalau kami dapat tiga mata pada perlawanan pertama tetapi kemudian tewas (kepada Vietnam). Apa yang mustahak, kami akan berusaha mendapatkan kemenangan,” katanya.

Pada kejohanan kali ini, Malaysia memulakan langkah dengan bergaya apabila menang 3-2 ke atas Kemboja, manakala Vietnam pula menghampakan Myanmar 2-1.

Malaysia kini mendahului Kumpulan B dengan meraih tiga mata, manakala Vietnam di tempat kedua juga dengan tiga mata. Mereka dipisahkan dengan jumlah perbezaan jaringan.




Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4QnmtouXy Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan