ARKIB : 04/02/1999
LAPAN bekas pemain Malaysia
adalah antara 14 pemain yang bakal menerima penghormatan sebagai anggota rasmi
AFC Century Club dalam satu majlis yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada
11 Februari ini.
Mereka terdiri daripada Soh
Chin Aun, Mokhtar Dahari, R. Arumugam, Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir, Shukor
Salleh, Ahmad Yusof dan Zainal Abidin Hassan.
Para pemain lain yang
disenaraikan dalam Kelab Seabad (Century Club) itu ialah Majed Abdullah (Arab
Saudi), Choi Soon Ho (Korea), Wail Suliman Al Habashi (Kuwait) dan Hamoud
Sultan Madkhoor (Bahrain).
Kelab itu ditubuhkan oleh AFC
sebagai penghormatan untuk mana-mana pemain yang mewakili negara melebihi 100
perlawanan kelas 'A'.
Dua daripada lapan pemain
Malaysia yang berada dalam senarai itu sudah meninggal dunia. Mereka ialah
Mokhtar Dahari yang meninggal dunia pada 1991 dan R. Arumugam pada 1988.
Kedua-duanya akan diwakili oleh
isteri mereka pada majlis itu. Turut hadir pada majlis makan malam itu ialah
Presiden AFC, Sultan Ahmad Shah, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC dan
tokoh-tokoh bola sepak tanah air.
Kesemua 14 pemain itu dipilih
berdasarkan sokongan dokumentasi yang dikemukakan oleh persatuan masing-masing.
Setiausaha Agung AFC, Datuk
Peter Velappan berkata, pengiktirafan itu diberi kepada para pemain yang telah
mewakili negara melebihi 100 perlawanan.
Katanya, atas sebab itulah
Century Club telah ditubuhkan.
''Rekod pencapaian
pemain-pemain ini nyata sukar ditandingi. Mungkin ada antara mereka sudah
bersara ataupun sudah tiada lagi tetapi sumbangan dan jasa mereka untuk bola
sepak Asia harus dicatat dan dihormati.
''Senarai pemain untuk Century
Club merupakan amalan berterusan dan kami sentiasa mengikuti perkembangan
calon-calon lain yang akan mencapai status berkenaan pada tahun depan,'' ujar
beliau.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0204&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4PsDtX59S
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan