KIM Swee harap kejayaan bersama
skuad senior di Yangon.
Episod kegagalan pada 2012 di
bumi Myanmar mahu dipadam jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee yang
kali ini hadir dengan misi berbeza.
Empat tahun lalu, Kim Swee
gagal membawa skuad bawah 22 tahun negara (B-22) gagal melepasi pusingan
kelayakan Piala AFC B-22 selepas tumpas pada perlawanan penentuan dengan
Myanmar 1-2 di Stadium Thuwunna.
Ia cukup mengecewakan
pengendali berusia 45 tahun itu susulan dakwaan pasukan tuan rumah menurunkan
pemain lebih umur.
Bagi Kim Swee, tugas yang
dipikulnya kali ini berbeza dan beliau mengharapkan kejayaan bersama skuad
senior dalam kempen Piala AFF 2016 di Yangon bermula Ahad ini.
“Saya hanya membawa pasukan
bawah 23 dan 19 tahun beraksi di sini, tapi kali ini berbeza. Ini kejohanan
berprestij di Asia Tenggara membabitkan pemain senior.
“Apa yang berlaku sebelum ini
tak akan mengubah apa-apa kerana apa yang penting kami sudah bersedia
menghadapi perlawanan pertama dengan Kemboja.
“Keputusan tiga perlawanan
dengan Kemboja, Vietnam dan Myanmar penting untuk kita layak ke separuh akhir,”
katanya yang ditemui pemberita pada sesi latihan di Stadium Aung San semalam.
Selepas dua hari berlatih di
Yangon, Kim Swee berpuas hati dengan kemajuan ditunjukkan anak buahnya yang
perlu cepat menyesuaikan diri dengan cuaca panas kerana perlawanan menentang
Kemboja akan berlangsung pada jam 3 petang Ahad ini.
“Cuaca di Yangon ketika itu
agak panas. Tapi saya percaya dalam latihan beberapa hari lagi pemain akan
dapat menyesuaikan diri dan berada di tahap terbaik,” katanya.
Selepas aksi menentang Kemboja,
Malaysia yang juga naib juara 2014 akan meneruskan saingan Kumpulan B menentang
Vietnam pada 23 November dan Myanmar (26 November).
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 10:40 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan