Jumaat, 18 November 2016

Bagi jurulatih pening nak pilih siapa'

 
APEK giat menjalani latihan bersama pasukan.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

Yangon: “Kami nak bagi jurulatih pening kepala siapa yang akan bermain dalam kesebelasan utama,” kata Khairul Fahmi Che Mat yang mengakui saingan untuk merebut posisi nombor satu penjaga gol kebangsaan kini semakin sengit menjelang aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF menentang Kemboja di Stadium Thuwunna esok.

Selain Khairul Fahmi, 27, turut mengintai peluang untuk diturunkan jurulatih kebangsaan Datuk Ong Kim Swee dalam perlawanan itu ialah Khairul Azhan Khalid dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Bagaimanapun, saingan merebut posisi itu lebih kepada Khairul Fahmi dan Khairul Azhan yang bermain ketika Malaysia menang 2-1 ke atas Papua New Guinea, Isnin lalu kerana Hafizul Hakim tidak memiliki pengalaman di pentas antarabangsa.


“Masing-masing nak merebut tempat dalam kesebelasan utama, kami nak jurulatih pening kepala nak pilih siapa. Pening kepala untuk pilih siapa dalam kesebelasan utama tak apa sebab ia untuk kebaikan pasukan,” kata Khairul Fahmi pada sesi latihan pasukan semalam.

Penjaga gol Kelantan itu tidak asing dalam kejohanan bola sepak paling berprestij rantau Asia Tenggara ini kerana sudah beraksi tiga edisi termasuk menjadi juara 2010 dan naib juara 2014.

Ramai pihak mempertikaikan kemampuan anak buah Kim Swee untuk melakar kejayaan kedua kali ini namun Khairul Fahmi atau turut dikenali sebagai Apek tetap menaruh keyakinan tinggi.

“Pada 2010 dan 2014 situasi sama juga berlaku. Ramai tak bagi harapan, tapi kita menjadi juara pada 2010 dan kemudian 2014 kita melangkah ke final. Walaupun harapan tipis, kami mahu melangkah lebih jauh kali ini,” tegasnya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2016 @ 5:11 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan