Ahad, 13 November 2016

Futsal: Rahman harap tidak kalah 20-0

ARKIB : 08/02/1999
''SAYA harap Malaysia tidak kalah sampai 20-0,'' kata jurulatih kebangsaan Abdul Rahman Ibrahim mengenai pusingan kelayakan Asia bagi Kejohanan Bola Sepak Lima Sebelah Dunia (Futsal) FIFA yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, 5-10 Mac ini, lapor JOHARI SHAWAL.

Menurut Abdul Rahman, kumpulan Malaysia dalam pusingan kelayakan itu dijangka terdiri daripada Jepun, Korea Selatan dan pasukan-pasukan gagah tanah Arab seperti Arab Saudi dan Iran.

Katanya, jika Malaysia diletakkan bersama-sama pasukan itu, peluang untuk melangkah ke pusingan akhir memang tipis malah sukar untuk menempah kemenangan.

''Kalau boleh janganlah kita bolos banyak gol. Biarpun kejohanan ini memang menyaksikan pesta gol kerana satu-satu pasukan mampu menjaringkan banyak gol, kita jangan kalah dengan jumlah sebanyak itu,'' katanya semalam.

Begitupun, bekas jurulatih Terengganu itu berkata, walaupun penyertaan Malaysia dalam Futsal hanya bersifat pendedahan, keputusan yang diperoleh nanti tetap penting.

''Walaupun kejohanan ini tidak begitu penting kerana ia hanya lima sebelah, kita harus bersikap ke depan dalam membangunkan sukan bola sepak negara.

''Malah kejohanan seperti inilah yang memperlihatkan bahawa Malaysia tetap berusaha memulihkan semula maruah bola sepak yang tercalar,'' katanya.

Futsal adalah tugas kedua Abdul Rahman selepas Piala Dunhill di Vietnam minggu lalu sebelum membawa cabaran negara ke Sukan SEA XX di Brunei, Ogos ini.

Penyertaan pertama Malaysia dalam Futsal ialah pada 1996 di bawah bimbingan jurulatih dari Belanda, Vic Hermans yang layak ke pusingan akhir di Sepanyol tetapi tewas dalam semua perlawanan kumpulan.

Malaysia tewas 1-10 kepada Itali, kalah 1-4 di tangan Uruguay sebelum dibelasah 10-2 oleh Amerika Syarikat.

''Kita harap dapat memberikan saingan sengit pada pusingan kelayakan nanti. Jika layak ke pusingan akhir, itu adalah satu bonus,'' katanya.

Abdul Rahman, yang gagal dalam misi pertama memulihkan maruah bola sepak negara apabila pasukan bimbingannya tersingkir pada pusingan awal Piala Dunhill, akan mula mengumpulkan pemain untuk Futsal pada 19 Februari ini.

Jurulatih itu akan menjelajah seluruh negara bertemu dengan jurulatih pasukan Liga Malaysia untuk mencari pemain yang sesuai.

Sementara itu skuad yang beraksi di Vietnam sudah pulang ke pasukan negeri masing-masing dan mereka akan dikumpulkan semula untuk latihan pusat negara pada April.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0208&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4Psial8ah © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan