Selasa, 22 November 2016

Aksi masih belum sempurna: Kim Swee

 
SYAZWAN (kanan) jaring gol penyamaan negara.
Yangon: Skuad Harimau Malaysia membuka langkah kanan dalam saingan Kumpulan B Piala AFF namun berdasarkan aksi kurang meyakinkan ketika menewaskan Kemboja 3-2 semalam laluan mencabar bakal dihadapi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk mara ke separuh akhir.

Skuad negara bergelut dalam aksi cuaca panas di Stadium Thuwunna apabila ketinggalan dua kali menerusi jaringan penyerang berusia 22 tahun Kemboja Chan Vathanaka pada minit kelapan dan 58.

Namun jaringan Syazwan Zainon pada minit ke-36 dan dua gol kapten Amri Yahyah (m-68 dan 80) menyelamatkan Harimau Malaysia daripada terus mencatat kekalahan pada perlawanan pertama sejak edisi 2010.


Menurut Kim Swee, beliau mengakui anak buahnya masih belum mempamerkan persembahan sempurna namun yakin mereka akan terus meningkat bagi bertemu Vietnam Rabu ini dan Myanmar pada Sabtu.

“Ia kemenangan sukar seperti yang kami jangkakan tapi kami berjaya mencapai misi yang diinginkan. Saya percaya kami akan bertambah baik selepas ini kerana kemenangan ini akan memberi lebih keyakinan kepada pemain.

“Gol yang kami lepaskan menyebabkan corak permainan berubah. Kami mengawal permainan namun selepas ketinggalan kami terpaksa mengejar kedudukan dan terpaksa berusaha dua kali ganda dalam cuaca panas,” katanya.

Malaysia mengawal permainan namun bahagian pertahanan yang diterajui Shahrom Kalam dan Shahrul Saad kerap goyah ketika berdepan serangan pantas Kemboja.

Bagaimanapun Kim Swee mempersoalkan jaringan pertama Kemboja apabila mengakui pemainnya keliru apabila pengadil dari Oman Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah membenarkan gol Vathanaka biarpun penjaga garisan sudah mengangkat bendera.

“Saya kena melihat video semula jaringan pertama itu tapi saya melihat penjaga garisan sudah mengangkat bendera, membuatkan bukan saja pemain kita tapi pemain Kemboja turut menghentikan permainan.

“Ada satu situasi yang mana pemain Kemboja menghantar bola ke belakang dan penjaga gol mereka menangkap bola itu tapi pengadil tidak memberikan sepakan percuma. Tapi apa yang berlaku hari ini perlu dijadikan pengajaran buat pemain kita supaya terus bermain selagi wisel tidak dibunyikan,” ujarnya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 November 2016 @ 5:08 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan