Laluan Malaysia berliku
KEGEMBIRAAN jelas terbayang di
wajah pemain-pemain negara selepas Hairuddin Omar (no. 20) menjaringkan gol
kedua Malaysia semasa mengalahkan Kemboja 3-2 pada Kejohanan Bola Sepak Piala
Tiger di Stadium Tinsulanon Songkhla, Thailand, semalam. - Gambar SAIFUL NIZAM
BAHARI.
SONGKHLA - Laluan berliku
menjadi pilihan Malaysia apabila hanya mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas
Kemboja dalam perlawanan kumpulan B Kejohanan Bola Sepak Piala Tiger di Stadium
Tinsulanon, di sini, semalam.
Selepas mendahului 3-0, Malaysia
kembali mempamerkan aksi tidak bermaya untuk menyekat kemaraan Kemboja yang
akhirnya merapatkan jurang menerusi dua jaringan.
Jaringan Malaysia dihasilkan
Azman Adnan (penalti minit 20), Hairuddin Omar (47) dan ketua pasukan, Ahmad
Shahrul Azhar Sofian pada minit ke-62.
Sementara itu, Kemboja mendapat
jaringan menerusi pemain gantian, Pok Chanthan (73) dan sepakan penalti Hok
Sochentra pada minit ke-87.
Kemenangan tipis agak
meresahkan Malaysia yang terpaksa berdepan Singapura dalam perlawanan terakhir
peringkat kumpulan pada 13 November ini.
Sebelum itu, Malaysia seri
tanpa jaringan dengan Vietnam, tetapi menang besar 5-0 ke atas Laos, manakala
Singapura cuma bermain satu perlawanan dengan mencipta kemenangan 1-0 ke atas
Kemboja.
Dalam perlawanan semalam, skuad
negara memulakan aksi dengan agak meyakinkan apabila mencemaskan lawan menerusi
sepakan percuma Ahmad Shahruddin Rosdi tetapi bola rembatannya yang gagal
ditangkap kemas penjaga gawang Kemboja, Soun Dara terkeluar sedikit dari pintu
gol.
Begitu juga dengan hantaran
ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar sekadar menyaksikan bola rembatan Azman
Adnan tersasar sembilan minit kemudian.
Namun, persembahan Malaysia
kemudiannya agak hambar dengan Kemboja pula mengambil alih serangan yang
sesekali mencemaskan skuad negara.
Di sebalik keghairahan Malaysia
mengasak, serangan balas Kemboja agak mencemaskan tetapi tandukan Hok Sochentra
dapat dibaca penjaga gol, Kamarulzaman Hassan yang menangkap kemas percubaan
minit ke-13.
Bagaimanapun, Malaysia memperolehi
jaringan apabila sepakan percuma Mohd. Anuar Jusoh menyaksikan tandukan
Hairuddin Omar terkena tangan seorang pemain pertahanan Kemboja dalam kotak
penalti Kemboja.
Pengadil Hidayat Jajat Sudrajat
(Indonesia) menghadiahkan sepakan penalti kepada Malaysia yang mudah
disempurnakan oleh Azman pada minit ke-20.
Beberapa percubaan dilakukan
Malaysia yang mengancam kubu Kemboja menerusi gandingan penyerang Azman, Rusdi
Suparman dan Hairuddin tetapi kegagalan untuk mencari penyudah menggagalkan
usaha sehingga berakhir separuh masa pertama.
Babak kedua terus menyemarakkan
kemaraan Malaysia yang memberi tekanan kepada Kemboja dengan barisan pemain
sama mengemudikan serangan.
Hasil hantaran pemain
pertahanan, B. Rajnikandh menyaksikan Hairuddin menanduk bola yang gagal
diselamatkan penjaga gol, Dara pada minit ke-47 untuk Malaysia mendahului 2-0.
Skuad kebangsaan yang masih
tidak berpuas hati meneruskan kemaraan selepas jurulatih Abdul Rahman Ibrahim
memasukkan Nizaruddin Yusoff untuk menggantikan Azman bagi menguatkan jentera
serangan.
Dalam satu serangan pantas Malaysia,
Rosdi Talib menyusun gerakan menarik apabila hantarannya ke depan gawang
Kemboja menyaksikan Rusdi menolak ke belakang untuk Ahmad Shahrul Azhar
merembat masuk jaringan minit ke-62.
Walaupun ketinggalan, Kemboja
tidak berputus asa dengan mengatur serangan yang berjaya mengucar-kacirkan
benteng pertahanan Malaysia.
Percaturan jurulatih Kemboja
mengeluarkan Chan Arunreath ternyata berhasil apabila pemain gantian Pok
Chanthan dapat melakukan sepakan dalam keadaan kelam kabut di depan pintu gol
Malaysia yang menyaksikan bola gagal diselamatkan penjaga gawang, Kamarulzaman
pada minit ke-73.
Tindakan Rajnikandh menjatuhkan
Hok Sochetra dalam kotak penalti Malaysia membawa padah apabila pengadil
memberikan sepakan penalti yang mudah disempurnakan pemain itu pada minit ke-87
untuk mengikat keputusan dengan skuad negara hanya menang 3-2.
Daripada: ZAINUL AZHAR ASHARI
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4QVPAE04N
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan