Rabu, 30 November 2016

Sasaran bola sepak di Brunei raih perak


 

ARKIB : 13/04/1999
TENGKU Abdullah (kiri) menyerahkan replika cek kepada Titus James yang bakal berlatih bersama kelab bola sepak Perancis, Le Havre sambil diperhatikan Yap Nyim Keong dan kedua ibu bapa pemain itu di Kuala Lumpur, semalam.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran layak ke perlawanan akhir dan sekurang-kurangnya meraih pingat perak pada temasya Sukan SEA XX di Brunei, Ogos ini.

Timbalan Presidennya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, sasaran itu dikira bertepatan dengan kehendak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang sebelum ini meminta FAM memaklumkan sasaran mereka sebelum menyenaraikan acara bola sepak ke temasya dwitahunan itu.

''Saya rasa bola sepak kita masih punya harapan dan saya rasa kita perlu hantar pasukan kebangsaan kita di Brunei bukan sahaja dengan sasaran itu tetapi untuk mendapatkan pendedahan.

''Kita tentu mempunyai sasaran untuk menang jika kita menyertai sesuatu kejohanan... saya rasa sasaran itu mampu memuaskan hati MOM,'' katanya selepas majlis penyerahan cek tajaan FAM kepada pemain remaja negara, Titus James yang akan ke Perancis di pejabat beliau di Kuala Lumpur, semalam.

Tengku Abdullah berkata demikian sebagai reaksi balas FAM yang diminta MOM sebelum ini mengenai sasaran FAM sebelum acara bola sepak disenaraikan ke Brunei.

Presiden MOM, Tunku Imran Tuanku Ja'afar sebelum ini berkata, MOM mahu tahu sasaran FAM bagi memudahkan badan induk sukan negara itu menyenaraikan acara bola sepak.

Tengku Abdullah berkata, bola sepak di negara ini terutama bagi pasukan kebangsaan yang baru dibentuk di bawah kendalian jurulatih Abdul Rahman Ibrahim, perlukan pendedahan sebelum menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia, tahun depan.

Penyertaan skuad negara ke Brunei katanya, adalah sebagai usaha memberi pendedahan kepada skuad itu.

''Jika kita tidak hantar pasukan ke temasya itu, saya kira ia satu kerugian kerana dari situlah kita boleh dapatkan pengalaman untuk kembali membentuk pasukan yang baik.

''Penyertaan kita juga dapat meningkatkan lagi persahabatan dengan negara-negara ASEAN lain,'' ujarnya. Menurut Tengku Abdullah, banyak negara lain dalam rantau ASEAN yang belum maju bola sepaknya tetapi masih menghantar pasukan ke temasya itu.

''Kita juga harus menghantar pasukan... bukan sahaja bola sepak tetapi sukan-sukan lain yang belum maju di negara kita,'' katanya.

Terdahulu, FAM semalam menyerahkan cek berjumlah RM10,000 kepada Titus sebagai bantuan perbelanjaan pemain itu menimba ilmu bola sepak bersama kelab Divisyen Satu Perancis, Le Havre selama sebulan.

Titus, pelajar sekolah La Salle Brickfields di Kuala Lumpur berumur 13 tahun, merupakan seorang daripada empat pemain remaja Malaysia yang dipilih bermain dalam perlawanan pembuka tirai membabitkan pemain remaja dari seluruh dunia pada Piala Dunia 1998 di Perancis, Jun tahun lalu.

Titus adalah seorang daripada berpuluh-puluh pemain remaja dari seluruh dunia yang dipilih oleh ejen mengesan bakat pemain muda dari Perancis untuk menyertai akademi bola sepak kelab Le Havre yang mana kelab itu akan memilih 20 pemain terbaik untuk latihan selanjutnya.

Jika pemain itu terpilih, dia berpeluang untuk beraksi bersama kelab-kelab lebih gagah di Perancis seperti Monaco, Olympique Marseille dan Bordeaux.

Titus, yang pernah bermain untuk Kuala Lumpur dalam kejohanan bawah 12 tahun kebangsaan, akan ditemani bapanya, James Palani selama sebulan di Perancis dengan perbelanjaan ditanggung oleh FAM. Pemain itu akan berlepas ke Perancis, hari ini

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0413&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4RUANn1hM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan