Isnin, 28 November 2016

Harap Kim Swee kekal

 Ferzalfie Fauzi
ferzalfie@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: “Saya harap beliau dikekalkan,” itu pandangan pemain kebangsaan S Veenod mengenai masa depan jurulatih negara Datuk Ong Kim Swee selepas Malaysia terkandas pada peringkat kumpulan Piala AFF.

Menurut pemain dari Pulau Pinang itu, dia berharap Kim Swee kekal dan tidak digantikan dengan jurulatih baharu walaupun Malaysia gagal mengulangi pencapaian edisi terdahulu apabila mara ke perlawanan akhir.


“Saya rasa pemain yang ada dalam pasukan kebangsaan sudah sesuai dengan corak latihannya, kalau ambil jurulatih baru mungkin ia akan mengambil sedikit masa,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Jelasnya, salah satu sebab mengapa Kim Swee harus dikekalkan ialah kerana statusnya sebagai jurulatih tempatan dan senang buat pemain untuk memberi kerjasama.

“Semua pemain sudah memberikan persembahan paling baik tapi nasib tidak menyebelahi kami. Mungkin ramai di luar sana yang tidak faham. Kami bawa nama Malaysia, apa yang jurulatih berikan kami ambil untuk buat yang terbaik,” ujar pemain Selangor itu.

Veenod menyatakan memang mereka kecewa tidak berjaya membantu Malaysia melepasi peringkat kumpulan Piala AFF tetapi mereka sudah memberikan yang terbaik serta tidak mempunyai sebarang masalah dengan jurulatih.

Malaysia gagal ke separuh akhir Piala AFF di Yangon, Myanmar apabila tumpas 0-1 kepada tuan rumah pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 November 2016 @ 9:01 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan