Ahad, 20 November 2016

Dua gol Amri benam Kemboja

 
Gol pertama Malaysia menerusi Syazwan Zainon menentang Kemboja. FOTO HM/OSMAN ADNAN
Daripada Aziman Rosdi di Yangon (Myanmar)
aziman@hmetro.com.my

Yangon: Skuad Harimau Malaysia terpaksa mencipta kebangkitan sebelum menundukkan Kemboja 3-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2016 di Stadium Thuwunna, hari ini.

Kapten Mohd Amri Yahyah muncul wira dengan meledak dua gol pada separuh masa kedua.

Kejayaan meraih tiga mata penuh itu memberi kelegaan buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee yang bakal berdepan lawan lebih handal Vietnam dan Myanmar selepas ini.

Kim Swee hanya melakukan dua pertukaran dalam kesebelasan utama berbanding ketika mengalahkan Papua New Guinea 2-1 dalam aksi persahabatan Isnin lalu apabila memasukkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dengan Khairul Azhan Khalid manakala Syazwan Zainon mengambil tempat Zaquan Adha Abd Radzak di posisi sayap kiri.

Malaysia menguasai permainan di awal permainan namun mereka dikejutkan dengan gol kontroversi Kemboja pada minit ke-8 oleh Chan Vathanaka.

Pemain Malaysia membantah gol berkenaan apabila penjaga garisan sudah mengangkat bendera sebagai tanda ofsaid namun pengadil dari Oman Abdul Baqi Yaqoob Said Abdullah mengesahkan jaringan kerana Vathanaka menerima bola sepakan Shahrul Saad.

Bagaimanapun gol itu tidak mematahkan semangat juang Harimau Malaysia yang bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi percubaan menarik Syazwan untuk gol pertamanya di pentas antarabangsa.

Malaysia juara 2010 dan naib juara edisi terakhir 2014 sekali lagi terperangkap dengan perangkap ofsaid sendiri apabila Vathanaka berjaya meloloskan diri sebelum melepaskan rembatan kencang untuk gol kedua pada minit ke-58.

Ketika Harimau Malaysia diambang kekalahan Amri, 35, menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol pada m-68 dan 80 untuk kedudukan 3-2.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 November 2016 @ 6:36 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan