Ahad, 13 November 2016

PNG mahu ratah Harimau Malaysia

Oleh MUHAMMAD RIDUAN MOHD. HANAFIAH
 
JURULATIH PNG, Flemming Serritslev (kiri) dan kapten pasukan, David Muta pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

SKUAD Papua New Guinea (PNG) tidak mahu mengulangi kesilapan ketika mereka dibelasah Iran 1-8 pada aksi persahabatan pertama di Stadium Shah minggu lalu.

Mereka mahu menebus kekecewaan tersebut dengan tekad untuk menumbangkan pasukan Harimau Malaysia pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam petang ini.

PNG yang turut terkenal dengan jolokan The Kapuls bertekad untuk mencetak kemenangan meskipun bakal mendapat tentang hebat daripada pasukan kebangsaan.

Kedua-dua pasukan pernah bertembung sebelum ini yang menyaksikan skuad negara tewas 0-2 pada aksi persahabatan sempena Jelajah Oceania di Port Moresby PNG, Jun lalu.

Pengendali PNG, Flemming Serritslev berkata, pihaknya menganggap pertembungan malam ini yang beliau anggap sebagai perlawanan timbal balik, mampu menghadiahkan kemenangan kepada PNG walaupun mereka tidak memiliki pemain terbaik pada jelajah mereka ke Malaysia kali ini.

Menurutnya, beliau hanya mempunyai 19 pemain, namun tetap positif untuk meraih keputusan yang positif.

“Kami sudah bersedia menghadapi pertemuan esok (hari ini) walaupun menyedari bakal berdepan tentangan sengit daripada pasukan tuan rumah.

“Saya akui pasukan Malaysia akan tampil dengan rentak terbaik dalam misi menembus kekecewaan pada aksi persahabatan pertama Jun lalu.

“Kami tidak berdepan tekanan dan saya yakin para pemain akan tampil le­bih gagah pada perlawanan esok (malam ini),” kata Serritslev pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Dalam pada itu, Serritslev turut menjelaskan, pada perlawanan itu nanti beliau akan membariskan dua penyerang berbisa yang dikatakan mampu mengucar-ngacirkan barisan pertahanan skuad Harimau Malaysia.

“Dengan kelebihan fizikal yang ada pada pemain kami, ia akan memberi kelebihan kepada kami. Pada perlawanan esok (hari ini) kami turut membawa masuk dua pemain muda untuk menguji kemampuan mereka beraksi di pentas lebih tinggi. Saya yakin mereka memiliki kemahiran menarik sebagai penyerang.

“Seorang daripada mereka berusia 17 tahun iaitu Stahl Gubag, manakala seorang lagi berusia 23 tahun iaitu Kolu Kepo. Saya harap dengan kehadiran dua pemain ini, jentera serangan pasukan akan lebih menyerlah,” ujarnya

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1114&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4Pw2QyqWI Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan