27 NOVEMBER 2016
Ong Kim Swee Ong Kim Swee
PEMINAT bola sepak tempatan
dirundung kekecewaan selepas melihat perjalanan skuad Harimau Malaysia tamat di
peringkat kumpulan dalam kejohanan Piala AFF Suzuki 2016.
Kegagalan tersebut susulan
skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee hanya mampu memungut tiga mata daripada tiga
perlawanan untuk menduduki tangga ketiga dalam Kumpulan B.
Malaysia memerlukan kemenangan
pada perlawanan terakhir menentang Myanmar
semalam, namun tidak mampu mencapai sasaran ke separuh akhir selepas
tewas 1-0 kepada pasukan tuan rumah bersama itu.
Pencapaian menamatkan saingan
di peringkat kumpulan pada kejohanan
dwitahunan itu mengulangi rekod sama yang dicatat pada 1998 di Vietnam
serta 2008 yang dihoskan bersama oleh Indonesia dan Thailand.
Prestasi goyah skuad kebangsaan
pada kejohanan edisi ke-11 bermula
dengan aksi pembukaan pada 20 Nov lepas setelah terpaksa bangkit dua kali
sebelum menang tipis 3-2 ke atas juara pusingan kelayakan, Kemboja.
Kekalahan 0-1 kepada juara
kumpulan B, Vietnam, selang tiga hari kemudian memberi gambaran jelas terdapat
beberapa kelemahan ketara termasuk kelekaan pada babak-babak akhir perlawanan
sebelum insiden yang sama berulang pada aksi menentang Myanmar.
Prestasi terumbang ambing
Malaysia dalam kempen Piala AFF kali ini sebenarnya tidak mengejutkan kerana
skuad kebangsaan bergelut untuk melakar keputusan positif dalam sembilan aksi
persahabatan antarabangsa yang dihadapi sebelum ke Myanmar.
Daripada sembilan perlawanan
tersebut, Harimau Malaysia hanya menang dua kali, seri lima kali selain tewas
sebanyak dua kali dan ia jauh berbeza dengan
Vietnam dan Thailand yang mencatat keputusan positif dalam aksi
persahabatan sebelum ke Myanmar.
Kepulangan awal skuad
kebangsaan sudah pasti menjadi pengajaran berguna buat Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) untuk memikirkan kaedah merevolusikan bola sepak tanah air.
Buat permulaan, Kim Swee sudah
boleh meletak jawatan secara terhormat susulan pemilihan pemain, strategi dan
latihan yang dilaksanakan sudah tidak memberi kesan di persada antarabangsa.
Justeru, FAM perlu memikirkan
semula pengambilan jurulatih import untuk skuad Harimau Malaysia memandangkan
pencapaian jurulatih tempatan membuktikan bahawa mereka tidak mampu membentuk
pemain-pemain menjadi lebih baik.
Bukan dipersoalkan kemampuan
jurulatih tempatan tetapi idea mereka masih statik sedangkan prestasi pasukan
serantau semakin meningkat.
Myanmar dilatih oleh jurulatih
kelahiran Jerman, Gerd Zeise, Kemboja oleh Lee Tae Hoon (Korea Selatan),
Indonesia oleh Alfred Riedl (Austria) dan Filipina oleh Thomas Dooley dari
Amerika Syarikat.
Juara bertahan, Thailand,
dibimbing oleh bekas penyerang kebangsaan, Kiatisak Senamuang, Singapura oleh
bekas pemain antarabangsa, V. Sundramoorthy dan Vietnam oleh anak tempatan,
Nguyen Huu Thang dan dibantu oleh jurulatih kecergasan dari Jerman, Martin Forkei.
Pada perlawanan dua peringkat
(timbal balik) separuh akhir, Indonesia akan menentang Vietnam pada 3 dan 7 Dis
ini manakala Myanmar berdepan dengan Thailand pada 4 dan 8 Disember ini.
Perlawanan final (timbal balik)
akan berlangsung pada 14 dan 17 Disember ini.
Selain jurulatih, pemilihan
pemain perlu lebih teliti memandangkan pasukan negara hanya memiliki pemain
berpotensi dan tidak mempunyai pemain berkaliber di persada antarabangsa.
Justeru, bagi menyelamatkan
maruah bola sepak negara, FAM perlu menilai semula cadangan pengambilan pemain
naturalisasi sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan prestasi skuad
negara.
FAM perlu melihat pemain
naturalisasi sebagai pilihan tambahan dan bukannya satu kemestian dalam skud
negara.
Pada masa ini, pemain import
dalam pasukan-pasukan dalam Liga Malaysia merupakan pemain pilihan dalam
kesebelasan utama skuad masing-masing khusus dalam posisi pertahanan dan
penyerang.
Pengambilan pemain naturalisasi
bukan sesuatu yang aneh dalam sukan antarabangsa tetapi ia memang sesuatu yang
baharu dalam bola sepak tempatan.
Malaysia pernah memberi taraf
kerakyatan kepada atlet terjun, Huang Qiang dari China, jaguh angkat berat
kelahiran Indonesia, Hidayat Hamidon, penembak Ukraine, Irina Maharani dan
atlet jalan kaki dari China, Yuan Yufang bagi membolehkan mereka mewakili
negara pada Sukan Komanwel 1998. – Bernama
Sumber SINAR HARIAN ONLINE 27
NOVEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan