Sabtu, 26 November 2016

Harimau Malaya makin ganas

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

HARIMAU Malaya terus mengganas. Semalam, mereka sekali lagi membuktikan kejaguhan selepas berjaya membenam Myanmar 2-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV di Kota Bharu.

Kehilangan lima tonggak utama tidak merencatkan permainan selepas beberapa muka baru yang disenaraikan jurulatih, Datuk K.Rajagobal berjaya memikul tanggungjawab yang diberikan.

Seawal minit kelapan, Malaysia menguji gawang Myanmar menerusi rembatan kencang Baddrol Bakhtiar namun, sepakannya sedikit melepasi palang.

Dua minit kemudian giliran Myanmar menguji benteng Malaysia apabila Kyi Lin melakukan hantaran lintang yang gagal ditangkap oleh Sharbinee Allawee sebelum berjaya dikeluarkan oleh Helmi Rameli.

Pada minit ke-24 menyaksikan Helmi sekali lagi menyelamatkan gawang Malaysia selepas berjaya mengeluarkan bola hantaran lintang Kyaw Ko Ko tidak berjaya ditangkap kemas Sharbinee sebelum disambar David Than yang sudah bersedia menolak masuk bola tersebut.

Selang empat minit kemudian, stadium mula gempita dengan sorakan lebih 15,000 orang penonton selepas Amirulhadi Zainal berjaya memecah kebuntuan.

Gol tersebut berpunca daripada lambungan Baddrol mengucar-kacirkan benteng Myanmar sebelum Amirul yang tidak dikawal melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol,Kyaw Zin Htet.

Babak kedua bersambung, Malaysia tidak menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan apabila giliran Baddrol mencatat nama sebagai penjaring.

Beliau yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan kencang menarik selepas menerima hantaran lintang Abdul Hadi Yahya.

Baddrol berpeluang merekodkan satu lagi gol namun, beliau gagal memperdayakan penjaga gol Myanmar pada minit ke-67 selepas menerima lorongan daripada ketua pasukan, Safiq Rahim.

Dua minit berselang, peluang sekali lagi menjelma juga melalui Baddrol apabila gerakan yang bermula daripada Safiq yang turut melibatkan Ashaari Shamsuddin namun, rembatan pemain Kedah itu sedikit tersasar.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0619&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4R5hb4QEf Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan