Ahad, 27 November 2016

Tiba masa guna pemain muda?

FADHILUL IZMEL ISHAK MELAPORKAN DARI YANGON  |  28 November 2016 12:05 AM
ONG KIM SWEE (kiri) dan Hamidin Mohd. Amin meninggalkan hotel penginapan mereka di Yangon untuk kembali ke Malaysia semalam selepas kempen Harimau Malaysia dalam kejohanan Piala AFF berakhir di peringkat kumpulan. UTUSAN
YANGON 27 Nov. - Sudah menjadi adat pertan­dingan ada menang dan kalah. Malangnya Harimau Malaysia yang menjadi pihak yang merana selepas mereka tersingkir di pe­ringkat kumpulan Piala AFF 2016.
Mungkin dengan penyingkiran tersebut merupakan isyarat kepada Datuk Ong Kim Swee agar merencana strategi beliau untuk menghadapi cabaran 2017 dengan mengambil pemain yang lebih muda seperti yang dilakukan oleh Myanmar dan Kemboja.
Berdasarkan corak permainan yang dipersembahkan oleh pemain skuad negara sepanjang tiga perlawanan dalam Kumpulan B membuktikan Harimau Malaysia masih belum berada di tahap terbaik, lebih tepat lagi mengecewakan.
Banyak kerja rumah yang perlu dilakukan oleh Kim Swee dan me­nyentuh mengenai hala tuju Harimau Malaysia selepas ini sepatutnya semua pihak berganding bahu untuk membantu atau meringankan beban beliau dan bukannya me­nimbulkan lebih banyak masalah.
Ramai beranggapan Kim Swee wajar melepaskan jawatannya sebagai jurulatih Harimau Malaysia namun itu bukan jalan terbaik tambahan pula beliau masih mempunyai dua lagi Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang masih belum terlaksana. Jika pecat Kim Swee dan mengambil jurulatih terbaik di dunia sekali pun belum tentu mampu memberi kegemilangan kepada bola sepak negara jika pemain yang kita ada tidak cukup berkualiti.
Sebagai penyokong bola sepak tempatan kita seharusnya bersedia untuk membenarkan Kim Swee memasukkan pemain muda dan pada masa sama tidak mele­takkan harapan terlalu tinggi.
Jika peminat bola sepak mahu Kim Swee mengambil pemain muda dan pada masa sama mele­takkan sasaran yang tinggi bagaimana beliau mahu melaksanakannya. Membina pasukan bola sepak memerlukan masa yang lama untuk dibentuk dengan baik.
Bagaimanapun, persembahan yang dipamerkan oleh Harimau Malaysia terutamanya ketika tumpas 1-0 kepada Myanmar semalam amat mengecewakan malah menampakkan banyak kelemahan dalam kalangan pemain.
Posisi tengah seakan-akan lumpuh malah gagal memberikan bola kepada jentera serangan serta membantu rakan mereka di bahagian pertahanan. Apabila bahagian tengah gagal berfungsi dengan baik maka secara keseluruhan pasukan tidak mampu bergerak dengan lancar. Pertahanan kiri juga rapuh dan tidak mampu mengawal asakan serangan lawan dengan baik.
Harimau Malaysia tidak ada pemain yang pantas dan memiliki keyakinan untuk menggelecek bagi mengucar-kacirkan pasukan lawan malah mereka juga kerap kehilangan bola. Teknik han­taran kepada rakan sepasukan juga amat lemah.
Mengulas mengenai persembahan skuad negara dalam kempen kali ini pengurus pasukan Datuk Hamidin Mohd. Amin jelas tidak dapat menyembunyikan kekecewaan.
“Saya kecewa dan tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Kita kena terima kita tidak cukup bagus dan sudah pasti kita kecewa,” katanya kepada pemberita di hotel penginapan skuad negara hari ini.
Bercakap mengenai kedudukan Kim Swee, Hamidin berkata perbincangan teliti bersama Exco FAM perlu dilakukan sama ada mahu mengekalkan khidmat pengendali dari Melaka itu atau sebaliknya.
“Bagi saya mudah. Beliau masih ada kontrak hingga hujung tahun depan dan mempunyai tiga KPI iaitu meletakkan skuad kebangsaan dalam lingkungan 140 dunia kemudian layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dan layak ke final Piala AFF 2016 (gagal),” katanya lagi.
Sementara itu, Kim Swee menegaskan beliau tidak akan mengundurkan dirinya sebagai jurulatih Harimau Malaysia tetapi menye­rahkan kariernya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Tidak. Kenapa perlu saya menarik diri. Saya tidak pernah terfikir pun untuk melakukannya. Saya masih ada kontrak hingga hujung 2017. Apa-apa pun terpulang kepada pengurusan untuk menentukannya. Menarik diri, saya tidak fikir untuk melakukannya melainkan pihak pengurusan mahu saya lakukan sesuatu.
“Dengan segala halangan yang saya hadapi, peminat masih mahukan keputusan positif. Kalau anda mahu saya guna pemain muda adakah peminat bersedia untuk menerimanya atau menunggu keputusan positif?” katanya.

SUMBER- See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/tiba-masa-guna-pemain-muda-1.413142#sthash.ehPR0RIz.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan