Ahad, 13 November 2016

Rahman sudah susun strategi hadapi Futsal

ARKIB : 21/02/1999
JURULATIH kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim sudah mempunyai strategi terbaik untuk memantapkan pasukan bola sepak negara menghadapi Kejohanan Bola Sepak Lima Sepasukan (Futsal) Asia di Kuala Lumpur, bulan depan.

Katanya, kajiannya menerusi pita-pita video dan buku-buku mengenai permainan itu membantunya mencorakkan taktik dan strategi terbaik untuk pasukan.

''Melalui kajian dan pembacaan saya itu, saya sudah mendapat sedikit sebanyak pengetahuan tentang permainan ini dan saya bersedia untuk menerapkannya kepada pasukan.

''Saya harap corak dan strategi permainan yang bakal saya terapkan itu mampu membuahkan kejayaan buat pasukan negara pada Futsal Asia,'' katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Sebanyak 25 pemain melapor diri di wisma itu kelmarin kecuali pemain Pulau Pinang, G. Shanmugam yang masih sibuk selepas melangsungkan perkahwinan dan pemain Sarawak, Ramos Sari yang mewakili pasukannya menentang kelab Jepun, Kashima Antlers pada Kejohanan Juara-Juara Kelab Asia, hari ini.

Daripada jumlah itu, hanya 12 pemain dipilih untuk mewakili negara.

Semua pemain terus menjalani latihan ringan di padang Wisma FAM petang semalam dan akan mula berlatih dalam dewan di Bukit Jalil, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Rahman tetap memerlukan bantuan penolongnya, Norizan Abu Bakar dalam merencanakan sistem latihan pasukan kebangsaan.

''Dia ada pengalaman dalam Futsal kerana pernah mengikuti kursus selama sebulan mengenai permainan ini di Brazil dua tahun lalu.

''Selain daripada kajian dan pembacaan saya, pengalaman Norizan saya perlukan,'' katanya.

Malaysia menghadapi laluan sukar untuk merebut antara tiga tempat teratas pada kejohanan itu apabila diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Jepun, Kazakhstan dan Uzbekistan.

Hanya tiga pasukan iaitu tiga pemenang teratas Kejohanan Futsal Asia Pertama pada 5-10 Mac itu layak secara automatik ke pusingan akhir Futsal Dunia FIFA pada 2000.

Kumpulan A kejohanan terdiri Korea Selatan, Kyrgyzstan, Iran, Thailand dan Singapura.

SENARAI PELATIH FUTSAL
Azmin Azram Aziz, Abdul Hadi Tahir, Zuraimi Hassan, G. Shanmugam, Ng Kok Heng, Lim Seng Kong, V. Saravanan, Nazzab Hidzan, Lim Chan Yew, Shahruddin Ahmad, Meor Nor Samsul Kamal, Chia Chin Kar, Azmir Nor Hakim Burhan, Ahmad Shahrul Azhar, Rizal Hassan, Md Nor Sheikh Ibrahim, B. Rajinikandh, Idris Karim, Liew Kim Tu, Ahmad Shahruddin Rosdi, Azharuddin Aziz, Mohd Noor Derus, Zulfakri Ashaari, Ramos Sari, Yap Wai Loon.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Ptm2WSAY © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan