Ahad, 13 November 2016

Manchester United uji Malaysia

ARKIB : 16/02/1999
KELAB ternama England, Manchester United (MU) adalah antara pasukan yang akan menguji skuad bola sepak negara menerusi siri perlawanan dan pendedahan bulanan bertaraf antarabangsa yang kini sedang diatur oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Langkah ini diambil berikutan persembahan hambar skuad bimbingan jurulatih Abdul Rahman Ibrahim pada Kejohanan Piala Dunhill di Vietnam bulan lalu yang dikatakan masih mentah akibat kekurangan pendedahan antarabangsa.

Naib Presiden FAM yang juga pengurus pasukan negara, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, idea mengadakan satu perlawanan antarabangsa setiap bulan diharap dapat memberi cukup pendedahan kepada pemain kebangsaan.

Menurutnya, program pendedahan itu seboleh-bolehnya mahu diadakan mulai bulan depan tetapi mungkin terpaksa ditangguh kerana skuad negara sedang melakukan persiapan menghadapi Kejohanan Bolasepak 5 Sebelah (Futsal).

''Untuk Futsal, pemain akan mula menjalani latihan pada 19 Februari tetapi saya tetap mengharapkan ia tidak menjejaskan rancangan kita untuk mengadakan perlawanan antarabangsa bulanan itu mulai bulan Mac ini,'' ujarnya di Ipoh, semalam.

Sebagai permulaan katanya, FAM sedang mendapatkan kerjasama beberapa pasukan luar seperti Singapura dan China untuk mengadakan perlawanan persahabatan.

''Jika boleh, FAM mahu mengadakan perlawanan timbal balik di negara ini dan di luar dan berharap ia dapat diterima oleh pasukan berkenaan,'' jelasnya.

Mengenai perlawanan persahabatan dengan MU, Raja Ahmad berkata, ia mungkin akan diadakan pada bulan Jun depan jika segala perancangan berjalan lancar.

''Bagi pendedahan kepada bola sepak Eropah, kita dijangka menerima kunjungan dua buah kelab Inggeris, Jun ini termasuk salah satu yang kita usahakan ialah Manchester United.

''Saya percaya ia amat berguna pada skuad negara walaupun kelab itu merupakan satu nama besar yang tidak setanding dengan mutu bola sepak kita sekarang,'' tegasnya

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0216&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4Pt07dgwT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan