ARKIB : 08/03/1999
MALAYSIA gagal melayakkan diri
ke separuh akhir Kejohanan Futsal Asia pertama, apabila tewas 8-2 kepada
Kazakhstan pada perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Negara, malam tadi,
lapor NORZIE MOHD. KHASBI.
Skuad negara, yang memerlukan
kemenangan sambil berharap Jepun tewas pada perlawanan mereka hari ini untuk ke
separuh akhir, menduduki tangga tercorot kumpulan selepas hanya mengutip satu
mata hasil satu seri dan dua kekalahan.
Walaupun mempamer pertahanan
baik di babak pertama dengan ketinggalan 3-1, skuad negara gagal menahan asakan
Kazakhstan apabila membenarkan lima lagi gol dihasilkan.
Pintu gol Malaysia dibolosi
seawal minit ketiga menerusi Glebov Artyom, tetapi Shahrul Azhar pantas
menyamakan kedudukan dua minit kemudian.
Kazakhstan, bagaimanapun tidak
menunggu lama untuk kembali mendahului menerusi Baimuratov Talgat, seminit
kemudian.
Jurulatih negara, Abdul Rahman
Ibrahim bertindak mengeluarkan Abdul Hadi Tahir untuk menggantikannya dengan
penjaga gol utama, Azmin Azram Abdul Aziz.
Azmin hanya mampu bertahan pada
beberapa minit awal kemasukannya, tetapi melepaskan gol ketiga Malaysia pada
minit ke-7, kali ini hasil jaringan Bendarov Alexander.
Kazakhstan terus memberi
tekanan kepada skuad negara apabila menambah lima lagi gol pada separuh masa
kedua, menerusi Artyom (m30), Baimukashev Serik (21), Talgat (22, 23) dan Kuzin
Vyacheslav (39).
Jaringan terakhir Malaysia oleh
Shahrudin Rosdi, tiga minit sebelum permainan tamat.
''Teknik Futsal tidak ada pada
Malaysia,'' kata Abdul Rahman, ketika diminta mengulas tentang kekalahan itu.
''Walaupun kita berjaya memberi
saingan kepada lawan, tetapi pemain kita tidak mampu mengawal bola mengikut
teknik yang betul. Itu memudahkan lawan merampas bola,'' katanya lagi.
Menurut Abdul Rahman, jika
Malaysia terus dengan amalan membentuk skuad pada saat akhir kejohanan, pasukan
negara tidak akan mampu melangkah ke tahap lebih tinggi.
''Kita perlu program latihan
yang lebih serius untuk menyertai kejohanan, tetapi jika kita terus dengan cara
seperti sekarang...saya fikir skuad yang ada sekadar untuk berhibur,'' katanya
lagi.
Bagaimanapun, Abdul Rahman
menafikan skuad Futsal negara adalah bayangan kepada pasukan bola sepak
kebangsaan yang akan menghadapi Sukan SEA XX di Brunei, Ogos depan.
''Walaupun kedua-duanya adalah
bola sepak, tetapi Futsal dan bola sepak padang adalah dua permainan yang
berbeza.
''Malah, dikebanyakan negara,
pemain-pemain Futsal dan pemain bola sepak padang terdiri daripada pemain yang
yang berbeza,'' katanya lagi.
Sementara itu dalam perlawanan
lain, Iran mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan
kedua dengan membelasah Kyrgyzstan 21-0 dalam Kumpulan A.
Korea Selatan turut mencatat
kemenangan besar dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, apabila menundukkan
Singapura 14-0.
KEPUTUSAN
KUMPULAN A: Korea Selatan 14
Singapura 0; Kyrgyzstan 0 Iran 21.
KUMPULAN B: MALAYSIA 2
Kazakhstan 8.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Q5jwj1jt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan