Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Yangon: Pemain sayap Harimau
Malaysia Zaquan Adha Abd Radzak (gambar) mampu menjadi duri dalam daging kepada
Kemboja apabila kedua-dua pasukan bertemu hari ini.
Kali terakhir Zaquan bermain
bersama skuad kebangsaan bertemu Kemboja pada 2012 menyaksikannya meledak dua
gol manakala satu lagi dijaringkan penyerang Mohd Safee Sali untuk kemenangan
3-0.
Bagaimanapun ia hanya
perlawanan persahabatan di Wisma FAM dan selepas itu Malaysia sekali lagi
menewaskan Kemboja 4-1 pada 2014 dalam satu lagi aksi persahabatan di Stadium
Shah Alam.
Menurut Zaquan, 29, sememangnya
dia mahu menyumbang gol untuk negara pada aksi pertama Piala AFF hari ini namun
rekod lampau tidak boleh dijadikan ukuran.
“Kami tak boleh jangka Kemboja
yang dulu sama dengan sekarang. Apa yang penting kami main dengan taktikal yang
diterapkan jurulatih (Datuk Ong Kim Swee).
“Daripada tayangan video, saya
lihat mereka sudah banyak meningkat. Memang itu yang saya harapkan
(menjaringkan gol), apapun siapa yang jaringkan gol tak penting asalkan pasukan
menang,” katanya ketika ditemui Arena Metro selepas sesi latihan semalam.
Zaquan yang kini beraksi
bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) bakal tampil dalam Piala AFF kedua sejak
2008 selepas kembali dipanggil bersama skuad kebangsaan September lalu.
Kecederaan teruk dialaminya
sebelum ini menyebabkan kariernya sedikit tenggelam namun dia dijangka menjadi
taruhan Kim Swee untuk beraksi di sebelah sayap kanan berdasarkan
persembahannya ketika Malaysia menang ke atas Papua New Guinea 2-1 dalam
perlawanan persahabatan Isnin lalu.
Zaquan, kembar kepada Aidil
yang sudah bersara Jun lalu percaya mereka boleh membuka langkah kanan hari
ini.
“Semua pemain dalam keadaan
bersemangat untuk mengharungi kempen Piala AFF dan perlawanan pertama ini cukup
penting bagi kami mendapatkan mata,” katanya yang sudah mengumpul 29 cap.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Ahad, 20 November 2016 @ 5:17 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan