Malaysia rombak pasukan, buru kemenangan kedua
FADHILUL IZMEL ISHAK | 23 November 2016 12:13 AM
KAPTEN Malaysia, Amri Yahyah (tiga dari kiri) bersama rakan sepasukan menjalani latihan dalam cuaca panas di Yangon semalam bagi menyesuaikan diri untuk menentang Vietnam pada perlawanan kedua Piala AFF hari ini.
YANGON 22 Nov. - Vietnam lebih pantas, berpengalaman serta berbahaya berbanding Kemboja, faktor yang mendorong Malaysia turun dengan corak permainan berbeza apabila kedua pasukan bertemu dalam perlawanan kedua Kumpulan B Piala AFF esok.
Biarpun tidak mendedahkan taktikal yang akan digunakan apabila berdepan juara 2008 itu, namun melihat kepada eksperimen yang dilakukan Datuk Ong Kim Swee dalam sesi latihan hari ini, pengendali Harimau Malaysia itu mungkin menerapkan corak defensif dengan formasi 4-5-1 menjadi pilihan.
Penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri dijangka menjadi penyerang tunggal dan dia akan disokong lima pemain tengah, yang diketuai kapten, Amri Yahyah, selain Mohd. Syazwan Zainon, Baddrol Bakhtiar, Shahrul Saad serta Fakri Saarani.
Menyedari pertahanan rapuh menjadi isu terbesar yang perlu ditangani, terutama selepas membenarkan gawang mereka dibolosi dua kali ketika mengalahkan Kemboja 3-2 dalam aksi pembukaan Ahad lalu, Kim Swee enggan terlalu ghairah menyerang, sebaliknya mahu menurunkan barisan paling seimbang.
“Saya sudah menonton perlawanan Vietnam ketika menentang Myanmar. Mereka lawan yang sangat berbeza (berbanding Kemboja), malah seimbang dalam semua posisi.
“Itu menyebabkan saya terpaksa membuat banyak pertukaran, bukan sahaja di benteng pertahanan tetapi juga bahagian tengah.
“Apa yang boleh saya katakan, pertemuan esok jauh lebih sukar berbanding perlawanan pertama. Namun, misi kami tetap saya iaitu cuba mencari keputusan positif,” kata Kim Swee dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Kim Swee juga menegaskan, selepas mengharungi detik mencemaskan ketika menentang Kemboja apabila ketinggalan dua kali sebelum mencatat kemenangan, anak-anak buahnya tidak boleh mengulangi kesilapan bertemu Vietnam nanti kerana lawan kali ini tidak mungkin membuka ruang yang banyak untuk melakukan kebangkitan.
Begitupun Kim Swee percaya, pertemuan esok bukan penentu segala-galanya kerana skuad kebangsaan masih mempunyai baki satu perlawanan iaitu menentang tuan rumah, Myanmar pada 23 November ini.
Katanya lagi, antara pemain Vietnam yang perlu diberi perhatian adalah kapten mereka, Le Cong Vinh (penyerang), selain Nguyen Van Quyet (tengah) serta pemain muda berusia 21 tahun, Luong Xuan Truong (tengah).
Sementara itu, kapten Harimau Malaysia, Amri Yahyah berkata, adalah menjadi kerugian sekiranya skuad kebangsaan gagal mengutip sebarang mata dalam aksi kedua selepas mencatat kemenangan pada perlawanan pembukaan.
“Insya-Allah dengan keyakinan yang ada saya yakin kita mampu menewaskan lawan dan kami akan berusaha.
“Saya fikir kami tidak boleh terlepas mata dan perlu menang berbanding seri jika mahu lebih selesa.
“Sia-sia rasanya kalau kalah sebab kami sudah menang dalam aksi pertama jadi perlawananan kedua ini kami tidak boleh kalah,” katanya.
Vietnam memulakan kempen Piala AFF 2016 dengan mengalahkan Myanmar 2-1.
SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/vietnam-lebih-berbahaya-1.410916#sthash.DOGfycAT.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan