BAKRI IBNI
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pemain
kebangsaan Bakri Ibni menegaskan kegagalan skuad kebangsaan dalam kempen Piala
AFF sebagai bukti jelas kegagalan pembangunan bola sepak tanah air.
Bakri, bekas pemain skuad
Olimpik 1980 berkata, kepincangan itu bukan perkara baharu namun harapan yang
tinggi masih diletakkan di bahu skuad Harimau Malaysia.
“Lupakan saja pasukan
kebangsaan, lupakan saja pasukan peringkat umur yang lain jika kita tidak mahu
membuat perubahan kepada sistem pembangunan kita. Jika pembangunan bola sepak
yang kita jalankan sekarang, dengan mewujudkan pelbagai program termasuk
sekolah sukan masih belum dapat melahirkan pemain bintang, itu bermaksud
pembangunan kita itu dijalankan secara tidak betul.
“Kenapa gagal? Anda jangan
tanya Datuk, Tan Sri kerana mereka tidak tahu, tanya bekas pemain yang masih
aktif membangunkan pemain di peringkat bawahan.
“Jika pasukan muda kita tidak
boleh ‘pukul’ Vietnam, Thailand, Myanmar, macam mana kita nak ada pemain bagus
untuk senior selepas itu,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Arena bola sepak tanah air
sekali lagi menerima tamparan hebat dengan pencapaian buruk Harimau Malaysia
kendalian Datuk Ong Kim Swee yang gagal mara ke separuh akhir Piala AFF apabila
tumpas 0-1 di tangan tuan rumah Myanmar dalam saingan Kumpulan B di Yangon
Sabtu lalu.
Menurut Bakri, 64, yang
menjaringkan salah satu gol menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi penentuan
kelayakan ke Olimpik Moscow, masalah di peringkat bawahan perlu ditangani.
“Kita tiada pilihan, skuad
kebangsaan perlu meneruskan sasaran yang ada tapi masalah pembangunan kita
perlu diatasi dengan baik. Saya pernah melihat jurulatih di sekolah sukan
menaiki motosikal dan menyuruh anak buahnya berlari di jalan raya, nak buat
apa?
“Umur 13-14 tahun pemain perlu
lebih banyak bermain dengan bola. Tapi saya tidak menyalahkan jurulatih kerana
mereka perlu dibekalkan dengan ilmu yang lengkap,” katanya yang pernah melatih
skuad Perlis.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 29 November 2016 @ 8:58 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan