14 NOVEMBER 2016
Ong Kim Swee Ong Kim Swee
KEMENANGAN tipis 2-1 skuad
Harimau Malaysia ke atas Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa
kelas 'A' di Stadium Shah Alam hari ini, masih belum menggembirakan Datuk Ong
Kim Swee.
Ketua jurulatih skuad
kebangsaan itu menegaskan pemain belum mencapai tahap permainan terbaik, namun
percaya kemenangan itu mampu membakar semangat anak
buahnya untuk memburu
kemenangan pada aksi sulung Kumpulan B menentang Kemboja dalam saingan Piala
AFF di Myanmar, Ahad ini.
"Masih banyak perlu
diperbaiki berdasarkan perlawanan petang ini. Kami masih banyak melakukan kesilapan tidak sepatutnya
dan ini akan digunakan sepenuhnya pihak
lawan dalam usaha mereka mendapatkan gol," katanya pada sidang media
selepas perlawanan berkenaan.
"Selepas ini kami akan
berusaha dan memberi lebih tumpuan kepada cara kami bertahan supaya perkara
yang sama tidak berulang pada masa akan datang," jelas Kim Swee.
Pada aksi hari ini, skuad
kebangsaan dikejutkan dengan jaringan Nigel Dabinyaba seawal minit keenam
sebelum skuad kebangsaan berjaya menjaringkan dua gol, masing masing menerusi
penyerang Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-20 dan sepakan penalti disempurnakan
kapten pasukan Mohd Amri Yahyah pada minit ke-47.
Berkongsi pandangan sama adalah
Mohd Amri yang memuji komitmen dipamerkan rakan sepasukan pada aksi
persahabatan itu dan berharap ia dapat diteruskan apabila berdepan Kemboja
nanti.
"Kami turun petang ini
dalam keadaan bersedia dan memberi sepenuh fokus untuk memenangi
perlawanan...saya mengucapkan terima kasih kepada semua pemain yang menunjukkan
komitmen tinggi pada perlawanan ini," kata pemain Johor Darul Ta'zim itu.
Ketua jurulatih Papua New
Guinea, Flemming Serritslev pula menyalahkan pengadil berikutan keputusan yang
tidak memihak kepada pasukannya pada perlawanan itu, namun pada masa sama
memuji persembahan terbaik skuad Malaysia.
"Dalam bola sepak, kita
dibenarkan melakukan asakan badan terhadap pemain lawan tetapi saya tidak
mengerti mengapa pengadil seperti membuat keputusan berat sebelah terhadap
pasukan kami.
"Bagaimanapun, saya harus
memuji pasukan Malaysia yang lebih bersedia berbanding ketika tewas (0-2)
kepada kami pada perlawanan persahabatan sebelum ini, Jun lepas," kata
jurulatih kelahiran Denmark itu. - Bernama
Sumber-sinar harian onLINE 14
NOVEMBER 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan