Ahad, 13 November 2016

'Jangan salahkan saya'

ARKIB : 05/02/1999
BANDARAYA HO CHI MINH - Corak permainan yang ditunjukkan pada Piala Dunhill di sini memaksa pasukan bola sepak Malaysia menerima hakikat bahawa taraf mereka masih jauh ketinggalan dalam arena antarabangsa.

Jurulatih negara Abdul Rahman Ibrahim, yang mengambilalih tugas itu pada akhir Disember, berkata beliau tidak harus dipersalahkan terhadap prestasi pasukan utama yang sedang diuji itu.

''Tahap pencapian yang rendah yang ditunjukkan itu adalah ekoran daripada apa yang telah kita lakukan dalam beberapa tahun lalu. Saya belum lagi menjalankan kerja sebenar dalam pembentukan pasukan itu,'' katanya di sini semalam.

Abdul Rahman kini dalam proses mengenali pemain dan berjanji bahawa beberapa pemain dalam pasukan utama di sini akan digugurkan dan perubahan kedudukan akan dilakukan dengan kemasukan pemain baru.

Katanya, langkah membawa pasukan itu ke kejohanan ini adalah langkah yang baik untuk memberi pendedahan kepada pemain selepas pasukan utama dibubarkan ekoran kegagalan pada Sukan SEA Jakarta pada 1997.

Bagaimanapun, katanya, pendedahan itu telah membuatkan skuad itu terpinga-pinga melihatkan taraf permainan yang tinggi yang ditunjukkan oleh pasukan China dan Korea pada kejohanan itu.

''Kita telah mempelajari lebih daripada apa yang kita harapkan. Ranking FIFA untuk kita pada kedudukan ke-113 memang wajar bagi pasukan kita di sini. Kejohanan ini telah membuka dimensi baru bagi kita untuk bangkit dan menghadapi kenyataan,'' katanya.

Bekas jurulatih Terengganu itu berkata Malaysia telah banyak kerugian kerana tidak menyertai arena antarabangsa sejak Sukan SEA Jakarta.

Abdul Rahman berkata kejohanann itu memberinya peluang untuk melihat dengan mendalam tahap sebenar bola sepak Malaysia dan beliau telah mengenal pasti unsur-unsur yang kekurangan pada pemain kebangsaan - komitmen, ketangkasan dan ketahanan mental.

Malaysia seri 1-1 dengan Bulgaria, tewas 0-3 kepada Korea Selatan dan tunduk kepada China 1-7 pada pusingan awal Kumpulan B.

Abdul Rahman berkata semangat juang dan keazaman pemain sahaja tidak mencukupi untuk mengatasi kelebihan China dan Korea daripada segi taktiknya.

''Kita tidak boleh bersikap sentimental dalam hal ini. Semangat juang dan patriotisme sahaja tidak boleh pergi jauh dalam bola sepak. Kita mesti hadapi kenyataan bahawa kita bermain di bawah par dan masih banyak lagi kerja yang perlu dilakukan,'' katanya.

Beliau berkata, Malaysia kalah teruk kepada China dan Korea, dua pasukan yang sedang memuncak prestasinya menjelang pusingan kelayakan Sukan Olimpik.

Pasukan kebangsaan akan pulang ke tanah air hari ini. - Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PsSpiz6J © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan