Masih banyak perlu diperbaiki
menjelang Piala AFF
FADHILUL IZMEL ISHAK | 15
November 2016 12:19 AM
SHAH ALAM 14 Nov. - Biarpun
berjaya mencatat keputusan positif ketika menewaskan Papua New Guinea (PNG) 2-1
dalam aksi persahabatan hari ini, namun pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong
Kim Swee belum berpuas hati dan menganggap banyak lagi yang perlu
dipertingkatkan pasukannya menjelang Piala AFF, hujung minggu ini.
Kemenangan adalah keputusan
yang amat diperlukan pasukan negara untuk membakar semangat sebelum memulakan
kempen di Yangon, Ahad ini dengan menentang Kemboja.
Namun, Kim Swee menegaskan,
persembahan pasukannya, yang ketinggalan 0-1 seawal minit keenam jauh daripada
sempurna.
“Pasukan belum sempurna kerana
terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki, namun yang penting pemain
menunjukkan karakter. Secara keseluruhan persembahan pasukan lebih bagus
berbanding sebelum ini.
“Saya tidak boleh cakap saya
gembira dengan prestasi yang dipamerkan, cuma ini keputusan yang bagus buat
kami sebelum berlepas ke Myanmar, Ini juga memberi suntikan semangat kepada
pemain untuk memulakan kempen Piala AFF,” katanya.
Dalam perlawanan di Stadium Shah
Alam itu, Harimau Malaysia terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan Nigel
Dabinyaba yang meletakkan pelawat di depan pada minit keenam.
Bagaimanapun, jaringan itu
tidak menyentap semangat anak-anak buah Kim Swee, sebaliknya mereka berjaya
bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri
selepas menerima hantaran cantik Mohd. Irfan Fazail pada minit ke-20.
Tiga minit selepas babak kedua
bersambung, Harimau Malaysia berada di depan hasil penalti Mohd. Amri Yahyah
selepas Darren Lok dijatuhkan pertahanan lawan, Alwin Komolong untuk memberi
kemenangan 2-1 buat Malaysia.
Kemenangan itu membalas dendam
atas kekalahan 2-0 Malaysia kepada PNG, Jun lalu.
Mengulas lanjut mengenai gol
awal lawan, Kim Swee berkata, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana
pemain terpaksa bekerja keras untuk menyamakan kedudukan sebelum boleh
mengatasi mereka.
“Kita sering ketinggalan satu
gol di belakang dan situasi itu membuatkan pemain terpaksa bekerja keras jadi
kami perlu elak daripada melakukan kesilapan dengan melepaskan gol yang tidak
sepatutnya” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kim Swee turut
berkata, beliau belum membuat keputusan siapakah pemain yang perlu digugurkan
sebelum berlepas ke Myanmar kerana hanya dibenarkan menyenaraikan 23 pemain.
“Bukan mudah untuk saya membuat
keputusan dan malam ini saya akan bincang dengan barisan kejurulatihan dan
harap dapat jawapan esok.
“Pemain menunjukkan komitmen
dan amat sukar bagi saya mengetepikan seorang daripada mereka,” katanya lagi.
-SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/belum-cukup-meyakinkan-1.407674#sthash.92vIV6k2.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan