Selasa, 15 November 2016

Misi Rahman elak Malaysia kalah besar

ARKIB : 03/03/1999
MALAYSIA yang bakal beraksi pada Kejohanan Bola Sepak Lima Sepasukan (Futsal) Asia yang bermula Jumaat ini turun tanpa sasaran utama tetapi Abdul Rahman Ibrahim mempunyai misi peribadinya, lapor JOHARI SHAWAL.

Meskipun jurulatih kebangsaan itu sering mengelak daripada menjawab pertanyaan wartawan mengenai sasaran skuad negara pada kejohanan pertama Asia itu, Abdul Rahman secara peribadi seboleh-bolehnya mahu mengelak pasukannya tewas besar pada setiap perlawanan kumpulan.

Selain itu jauh di lubuk hati, beliau mahu melihat Malaysia sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir dan layak ke pusingan akhir Futsal Dunia FIFA pada 2000 buat kali kedua biarpun sedar impian itu sukar dicapai.

Namun, jika skuad negara berjaya menamatkan aksi sekurang-kurangnya antara lima pasukan terbaik daripada sembilan yang bertanding, ia sudah cukup cemerlang bagi jurulatih itu.

''Kita menyertai Futsal ini ialah untuk belajar daripada pasukan yang pandai. Kita belum pandai dalam sukan ini dan sebab itu tiada sasaran diletakkan.

''Kita baru di peringkat permulaan dan tentunya hasil penyertaan kita ini kurang baik,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Hanya tiga tempat sahaja diperuntukkan untuk ke pusingan akhir Futsal Dunia FIFA pada 2000.

Saingan Malaysia pada kejohanan ini yang juga peringkat kelayakan ke pusingan akhir Futsal Dunia pada 2000, begitu getir apabila diletakkan dalam kumpulan B bersama-sama Jepun, Kazakhstan dan Uzbekistan.

Manakala Kumpulan A terdiri Korea Selatan, Thailand, Singapura, Kyrgyzstan dan Iran.

Menurut Abdul Rahman, kedudukan pasukan negara dalam permainan ini masih jauh berbanding pasukan-pasukan lain terutama yang sekumpulan dengan Malaysia.

''Untuk mara ke peringkat separuh akhir begitu sukar... permainan kita masih jauh tertinggal berbanding mereka.

''Jika kita mampu berada antara empat pasukan terbaik (separuh akhir), saya pasti Futsal kita boleh pergi jauh selepas ini,'' katanya.

Malaysia mengadakan dua siri perlawanan persahabatan menentang skuad Futsal Singapura menjelang peringkat kelayakan Asia di Stadium Negara, Jumaat ini.

Skuad negara menang dalam kedua-dua pertemuan itu, menang 14-2 pada perlawanan pertama di Singapura dan menang 3-0 pada perlawanan kedua di Johor Bahru.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak dianggap Abdul Rahman sebagai petanda baik bagi skuad negara pada kejohanan sebenar nanti.

''Standard permainan Singapura sama dengan kita. Kita masih jauh tertinggal dengan pasukan-pasukan lain seperti Jepun dan negara bekas Rusia,'' katanya merujuk kepada Kazakhstan, Uzbekistan dan Kyrgyzstan.

Begitu pun, Abdul Rahman berkata pasukannya sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik pada kejohanan itu biarpun mereka turun tanpa misi besar.

Malaysia berjaya melangkah ke pusingan akhir Futsal Dunia FIFA pada penyertaan pertamanya pada 1996 di Segovia, Sepanyol selepas berjaya mengetepikan cabaran Filipina dan Brunei pada pusingan kelayakan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, skuad negara yang ketika itu dibimbing jurulatih Belanda, Vic Hermans tewas dalam semua perlawanan kumpulan.

Abd. Rahman kelmarin menamakan 12 pemain untuk membawa cabaran negara yang mana tiga daripadanya adalah anggota skuad Futsal pada pusingan kelayakan pada 1996 iaitu Yap Wai Loon, Idris Karim dan B. Rajinikandh.

SUMBER-ARKIB UM : 03/03/1999

Tiada ulasan:

Catat Ulasan