Selasa, 15 November 2016

Belum cukup meyakinkan

Masih banyak perlu diperbaiki menjelang Piala AFF
FADHILUL IZMEL ISHAK  |  15 November 2016 12:19 AM

SHAH ALAM 14 Nov. - Biarpun berjaya mencatat keputusan positif ketika menewaskan Papua New Guinea (PNG) 2-1 dalam aksi persahabatan hari ini, namun pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee belum ber­puas hati dan menganggap ba­nyak lagi yang perlu dipertingkatkan pasukannya menjelang Piala AFF, hujung minggu ini.
Kemenangan adalah keputusan yang amat diperlukan pasukan negara untuk membakar semangat sebelum memulakan kempen di Yangon, Ahad ini dengan menentang Kemboja.
Namun, Kim Swee me­negaskan, persembahan pasukannya, yang ketinggalan 0-1 seawal minit keenam jauh daripada sempurna.
“Pasukan belum sempurna kerana terdapat beberapa perkara yang perlu diperbaiki, namun yang penting pemain menunjukkan karakter. Secara keseluruhan persembahan pasukan lebih bagus berban­ding sebelum ini.
“Saya tidak boleh cakap saya gembira dengan prestasi yang dipamerkan, cuma ini keputusan yang bagus buat kami sebelum berlepas ke Myanmar, Ini juga memberi suntikan semangat kepada pemain untuk memulakan kempen Piala AFF,” katanya.
Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam itu, Harimau Malaysia terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan Nigel Dabinyaba yang meletakkan pelawat di depan pada minit keenam.
Bagaimanapun, jaringan itu tidak menyentap semangat anak-anak buah Kim Swee, sebaliknya mereka berjaya bangkit menyamakan kedudukan menerusi penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri selepas menerima hantaran cantik Mohd. Irfan Fazail pada minit ke-20.
Tiga minit selepas babak kedua bersambung, Harimau Malaysia berada di depan hasil penalti Mohd. Amri Yahyah selepas Darren Lok dijatuhkan pertahanan lawan, Alwin Komolong untuk memberi kemenangan 2-1 buat Malaysia.
Kemenangan itu membalas dendam atas kekalahan 2-0 Malaysia kepada PNG, Jun lalu.
Mengulas lanjut mengenai gol awal lawan, Kim Swee berkata, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku kerana pemain terpaksa bekerja keras untuk menyamakan kedudukan sebelum boleh mengatasi mereka.
“Kita sering ketinggalan satu gol di belakang dan situa­si itu membuatkan pemain terpaksa bekerja keras jadi kami perlu elak daripada me­lakukan kesilapan dengan melepaskan gol yang tidak sepatutnya” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kim Swee turut berkata, beliau belum membuat keputusan siapakah pemain yang perlu digugurkan sebelum berlepas ke Myanmar kerana hanya dibenarkan menyenaraikan 23 pemain.
“Bukan mudah untuk saya membuat keputusan dan malam ini saya akan bincang dengan barisan kejurulatihan dan harap dapat jawapan esok.
“Pemain menunjukkan komitmen dan amat sukar bagi saya mengetepikan seorang daripada mereka,” katanya lagi

SUMBER- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/belum-cukup-meyakinkan-1.407674#sthash.6Jdjbixo.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan