Khamis, 17 November 2016

Hadin, Keon intai tempat 
dalam kesebelasan utama

17 November 2016 12:14 AM
MUHAMMAD HADIN AZMAN (dua dari kiri) berharap prestasinya dalam
MUHAMMAD HADIN AZMAN (dua dari kiri) berharap prestasinya dalam latihan akan meyakinkan Ong Kim Swee untuk meletakkannya dalam kesebelasan utama Harimau Malaysia yang akan mengharungi Piala AFF bermula Sabtu ini.
KUALA LUMPUR 16 Nov. – Pertama kali berada dalam skuad negara untuk kejohanan besar, pemain yang beraksi bersama Felda Uni­ted, Muhammad Hadin Azman bertekad menggunakan segenap peluang yang diberikan apabila kejohanan Piala AFF 2016 bermula 20 November ini.
Hadin dianggap penyelamat skuad Harimau Malaysia ketika mengikat Afghanistan dengan keputusan 1-1 dalam perlawanan persahabatan Oktober lalu dan kini dia bertekad membalas kepercayaan yang diberikan Datuk Ong Kim Swee kepadanya.
“Saya masih berusaha untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Insya-Allah saya akan cuba sehabis baik untuk merea­lisasikan impian saya itu dalam Piala AFF.
“Kami akan berdepan cabaran tinggi kerana persaingan peringkat kumpulan juga nampaknya boleh tahan sengit. Tapi, kami akan cuba menghadapi satu persatu perlawanan untuk mencapai ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari berharap kejayaan 2010 mampu diulangi bersama skuad bimbingan Kim Swee pada kali ini.
Dalam kejohanan enam tahun lalu, dia tersenarai dalam skuad juara kendalian Datuk K. Rajagobal namun tidak berpeluang untuk ber­aksi dalam sebarang perla­wanan.
Bagaimanapun kali ini peluang Khairul Helmi lebih besar untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama dan pemain yang lebih mesra dengan panggilan Keon itu mahu membuktikan dia mampu dijadikan sandaran untuk mengawal benteng pertahanan negara daripada serangan pasukan lawan.
“Memang menjadi salah satu sasaran saya untuk berada dalam kesebelasan utama. Apa yang penting semasa sesi latihan, kami akan bekerja keras. Sama ada dapat bermain dalam kesebelasan utama atau tidak, itu terpulang kepada keputusan jurulatih.
“Sebagai pemain, kami sentiasa bersedia untuk memberikan aksi terbaik,” katanya.
Skuad kebangsaan akan mengharungi perlawanan pertama dalam Kumpulan B bertemu Kemboja pada 20 November dan pastinya tiga mata pertama cukup berharga buat anak didik Kim Swee.
Tuan rumah Kumpulan B Myanmar pula akan menentang Vietnam sehari sebelumnya di Yangon.
Skuad negara telah berlepas ke Myanmar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi ini.
Tag Berkaitan

Sumber-- See more at: https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hadin-keon-intai-tempat-8232-dalam-kesebelasan-utama-1.408401#sthash.F6f2joxm.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan