Ahad, 13 November 2016

Tengku Abdullah seru pemain tingkatkan prestasi permainan

ARKIB : 21/02/1999
PENGURUS pasukan bola sepak Olimpik 2000, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi amaran keras kepada anak buahnya supaya meningkatkan prestasi permainan atau mereka bakal menghadapi masalah, lapor JOHARI SHAWAL.

Beliau berkata, sepatutnya persembahan semua pemain sudah berada pada tahap memuaskan menjelang kejohanan penting, pusingan kelayakan Sukan Olimpik pada Jun ini.

''Persembahan mereka sebentar tadi tidak begitu memuaskan hati saya. Saya bukan salahkan jurulatih tetapi terhadap pemain sendiri.

''Pemain sepatutnya tahu apa yang perlu dibuat semasa dalam padang dengan tidak hanya mengharapkan jurulatih tetapi diri sendiri.

''Ini adalah amaran awal kepada mereka,'' kata Tengku Abdullah selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad yang di bawah pengurusan beliau itu dengan Melaka di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Skuad Olimpik 2000 yang dibimbing jurulatih Hatem Souissi menang 2-1 ke atas Melaka tetapi persembahan keseluruhan pasukan itu masih goyah.

''Walaupun kita menang, banyak sungguh kelemahan pasukan ini. Mereka seperti kurang bertenaga dan kurang taktikal.

''Hantaran-hantaran bola kepada rakan juga masih kurang tepat dan banyak pula kesilapan yang dilakukan,'' ujarnya.

Biarpun Olimpik menguasai hampir 70 peratus permainan, Melaka lebih dulu membuka jaringan menerusi Rahuddin tetapi Shawal Johari menyamakan kedudukan sebelum M. Gopalan menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kemenangan.

Tengku Abdullah yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, persembahan taktikal pasukan masih belum memuaskan hati beliau.

''Pemain gagal mengikut arahan taktikal jurulatih dan ini merupakan punca utama persembahan kurang baik mereka. Mereka sepatutnya menggunakan apa yang diajar jurulatih.

Ditanya sama ada persembahan kurang bertenaga skuad itu akan menjejaskan persiapan pasukan menjelang kelayakan Olimpik, Tengku Abdullah berkata ia masih belum terlambat.

''Kita akan terus adakan lebih banyak perlawanan persahabatan untuk mereka memulihkan prestasi. Walaupun pusingan kelayakan sudah semakin hampir, saya rasa kita masih ada waktu untuk menyusun semula pasukan ini,'' katanya.

Olimpik 2000 dijadualkan meneruskan program perlawanan persahabatan antaranya menentang pasukan Olimpik Singapura, China, Indonesia selain Kejohanan Empat Negara sebelum ke Hong Kong.

Malaysia diundi bersama-sama Jepun, Nepal dan Hong Kong pada pusingan kelayakan Jun ini. Pusingan pertama kelayakan akan dilangsungkan di Hong Kong manakala pusingan kedua di Jepun.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PtqsFBHE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan