Ahad, 13 November 2016

FAM masih sangsi keupayaan Olimpik 2000


 

RKIB : 20/02/1999
TENGKU Abdullah (kanan) berbincang dengan dua jurulatih yang terlibat dalam pembentukan skuad Olimpik 2000, B. Sathianathan dan Hatem Souissi (tengah) di padang Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

SKUAD bola sepak Olimpik 2000 seharusnya sudah benar-benar mantap dan mempamerkan aksi yang dikehendaki selepas lama berlatih, kata Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata, pasukan itu seharusnya sudah tahu corak permainan yang perlu diterapkan selepas dibimbing jurulatih dari Tunisia, Hatem Souissi lebih enam tahun.

''Saya pasti pasukan ini sudah 50 peratus tahu apa yang perlu mereka buat. Mereka harus melakukan permulaan yang baik kerana kita mahu skuad ini mencapai kejayaan.

''Pemain juga harus tahu apa yang perlu mereka lakukan dan hindarkan perkara-perkara seperti pentingkan diri sendiri atau leka. Semangat kenegaraan harus diutamakan,'' katanya.

Tengku Abdullah semalam hadir di Wisma FAM, Kelana Jaya untuk meninjau persiapan skuad itu selain pasukan Futsal bimbingan Abdul Rahman Ibrahim yang mula menjalani latihan semalam.

Olimpik 2000, pasukan yang membawa cabaran negara dalam Piala Dunia Belia pada 1997, bakal beraksi pada pusingan kelayakan Asia pada Jun ini di Hong Kong pada pusingan pertama dan Jepun di pusingan kedua.

Bagaimanapun, skuad negara menghadapi laluan getir untuk mara ke peringkat seterusnya selepas diundi bersama-sama Jepun, pasukan yang semakin digeruni walaupun di peringkat junior.

Selain itu, pasukan lain dalam kumpulan ini ialah Nepal dan Hong Kong. Hanya satu pasukan iaitu pemenang pusingan kelayakan ini layak ke pusingan seterusnya sebelum ke temasya Sukan Olimpik di Sydney, tahun depan.

Manakala skuad Futsal dalam rangka persiapan menghadapi Kejohanan Futsal Asia di Kuala Lumpur pada 5 hingga 10 Mac ini.

Tengku Abdullah berkata, sebagai persiapan ke pusingan kelayakan itu, pasukan Olimpik 2000 akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan antaranya menentang pasukan Olimpik Singapura pada 4 dan 6 Mac ini di Stadium Bukit Jalil selain Olimpik China pada Mei di China.

FAM juga sedang berbincang untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan Olimpik Indonesia selain Kejohanan Empat Negara yang disertai pasukan Olimpik, yang mana Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah.

Mengenai perlawanan persahabatan pertama menentang Melaka di Wisma FAM hari ini selepas pasukan itu dihimpunkan semula bulan lalu, Tengku Abdullah berkata beliau tidak mementingkan keputusan tetapi mahu melihat setakat mana keupayaan dan kemantapan pasukan itu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PtZsvKp1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan