22 November 2016 12:15 AM
YANGON 21 Nov. – Gawang Harimau
Malaysia bocor tujuh kali dalam lima perlawanan terakhir dan situasi ini
membuatkan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee perlu
melakukan sesuatu terhadap benteng pertahanan.
Semua gol tersebut dibolosi
ketika Malaysia beraksi dalam empat perlawanan persahabatan, selain aksi
pembukaan Kumpulan B Piala AFF menentang Kemboja semalam.
Keputusan daripada empat
perlawanan persahabatan itu adalah Malaysia tewas 0-3 kepada Indonesia kemudian
seri tanpa jaringan menentang Singapura, seri 1-1 bertemu Afghanistan sebelum
menang 2-1 ke atas Papua New Guinea (PNG).
Terbaharu Malaysia menang 3-2
ke atas Kemboja semalam.
Berdasarkan statistik tersebut
Kim Swee mengakui, beliau bimbang terhadap benteng pasukan dan perlu
menyelesaikan masalah itu sebelum bertemu Vietnam dalam aksi kedua, Rabu ini.
“Ya, saya berasa sedikit
bimbang apabila gawang kami dibolosi satu gol ketika bertemu PNG kemudian
Afghanistan dan sekarang kita bolos dua gol ketika bertemu Kemboja.
“Sudah pasti kami perlu melihat
keadaan pertahanan. Ia perlu diberi penekanan dan diperkuatkan,” katanya.
Pada pertemuan dengan Kemboja,
gawang Malaysia beberapa kali berada dalam kedudukan bahaya namun disebabkan
penyudah lawan yang tumpul, ia menyelamatkan pintu gol negara daripada
dibolosi.
Mengulas mengenai pertemuan
menentang Vietnam, Kim Swee berkata, beliau bakal melakukan rombakan selepas
menyaksikan skuad bimbingan Nguyen Huu Thang itu menewaskan tuan rumah,
Myanmar 2-1 semalam.
“Penting untuk kita kembali
cergas kerana kita beraksi pada pukul 3 petang (waktu Myanmar). Hari ini saya
melakukan sesi pemulihan di kolam renang bagi pemain yang beraksi semalam dan
pemain yang tidak beraksi menjalani latihan pada sebelah pagi.
“Selepas menonton perlawanan
Myanmar menentang Vietnam, saya perlu melakukan banyak perkara, terutama corak
permainan. Kita ada sehari lagi untuk menentukan siapa bakal diturunkan atau
saya perlu menukar taktikal atau sistem.
“Bagi saya cuaca tiada
kelebihan cuma kita sudah bermain pada pukul 3 petang terlebih dahulu jadi
sudah pasti kita sepatutnya tahu bagaimana untuk mengawal situasi berbanding
Vietnam,” katanya.
Tambah Kim Swee, semua pemain
berada dalam keadaan cergas kecuali Mohd. Syazwan Zainon selepas mengalami
hentakan di paha namun kecederaan tersebut tidak begitu serius. – UTUSAN
SUMBER- See more at:
https://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/gawang-mudah-bocor-1.410480#sthash.lWzX4CJ6.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan