Sabtu, 12 November 2016

Strategi Rahman tidak mengena -- Korea Selatan pasukan pertama mara ke separuh akhir

ARKIB : 02/02/1999
BANDARAYA HO CHI MINH - Korea Selatan menewaskan Malaysia 3-0 untuk menjadi pasukan pertama mara ke separuh akhir selepas perlawanan kumpulan B kejohanan bola sepak Piala Dunhill kedua di Stadium Thong Nhat, semalam.

Malaysia, yang mencuba skuad senior yang baru memperoleh pengajaran yang berguna apabila menentang Korea yang jelas mempamerkan corak permainan yang baik.

Malaysia hanya menunjukkan semangat juang pada masa kedua untuk menghalang Korea daripada terus merobek bentang pertahanannya.

Malaysia menurunkan V. Saravanan dan G. Shanmugam dalam barisan permulaan dan memperkukuhkan pertahanan dengan Khairul Anuar Baharom, A. Ganesan, Moey Kok Hong dan Zami Mohd. Noor.

Bagaimanapun, benteng pertahanan Malaysia goyang apabila Korea Selatan yang menurunkan skuad Olimpiknya mempameran pergerakan-pergerakan yang berbisa.

Korea membuka jaringan apabila Kim Do Kyun membuat tandukan yang kencang pada minit ke-25.

Bintang bola sepak dunia Dong Gook membuka ruang apabila beliau menewaskan Ganesan di penjuru kiri dan mengumpan bola kepada Do Kyun yang tidak dikawal. Dong Gook kemudian menjaringkan gol kedua Korea pada minit ke-38 untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Malaysia, yang seri 1-1 dengan Bulgaria pada perlawanan pembukaan Sabtu lepas kemudian menukar strategi.

Korea menggantikan Dong Gook pada minit ke-57 dan beban serangan Korea agak reda pada pertahanan Malaysia.

Korea, yang menewaskan China 3-1 pada perlawanan Sabtu lalu menjaringkan gol ketiga melalui Choi Chul Woo pada minit ke-87.

Jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim mengaku bahawa pemain-pemain Korea telah memberi pengajaran yang berguna kepada Malaysia mengenai bola sepak moden.

''Kita masih lemah dalam semua bidang apabila menentang Korea dan kedua-dua gol pertama ialah kerana kesilapan barisan pertahanan,'' kata beliau.

Malaysia akan bertemu China dalam perlawanan pada Rabu sementara Korea akan menentang Bulgaria juga pada Rabu.

MALAYSIA: Azmin Azram Aziz, Abdul Ghani Malik (Ahmad Shahruddin Rosdi), Khairul Anuar Baharom, Anuar Jusoh, V. Saravanan (Yusri Che Lah), K. Sanbagamaran, Zami Mohd Noor, Ahmad Shahrul Azhar, Moey Kok Hong (Shamsul Amri), G.Shanmugam, A. Ganesan.

KOREA SELATAN: Chung Yoo Seok, Park Jin Sub, Sim Jae Won, Kim Do Kyun, Seol Ki Hyeon, Kim Nam Il, Cho Se Kwon, An Hyo Yeon, Park Dong Hyuk, Lee Dong Gook (Choi Chul Woo), Chung Dae Hoon (Park Jae Hong). _ Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PrsGyxMl © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan