Sabtu, 12 November 2016

Skuad negara perlukan pendedahan

ARKIB : 01/02/1999
BANDARAYA HO CHI MINH - Jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim berkata, Malaysia boleh mempertingkatkan mutu permainannya sebanyak 30 peratus jika pasukan itu lebih kerap mengadakan perlawanan dengan pasukan terkemuka dari Eropah.

Ujar Rahman, pemain negara harus didedahkan kepada corak bola sepak moden yang mirip permainan Eropah untuk mempertingkatkan taraf mereka seperti negara Asia lain.

Sebagai contoh, katanya, Korea Selatan dan China berusaha menghantar skuad Olimpik mereka untuk berlatih dan mengadakan perlawanan di Eropah.

''Kita di sini pergi ke luar negara untuk bermain dua perlawanan dan apabila pulang ke tanah air, kembali bermain corak permainan biasa kita,'' katanya.

Mengenai Kejohanan Piala Dunhill kedua, Rahman berkata, para pengkritik bola sepak Malaysia harus bersabar dengan pasukan kebangsaan ini.

Malaysia mensia-siakan peluang untuk meraih kemenangan dalam perlawanan pertama kelmarin dengan membenarkan skuad Olimpik Bulgaria mengekang mereka 1-1.

Malaysia mendahului menerusi G. Shanmugam pada minit ke-21 sebelum Angel Stoykov menyumbat gol penyamaan pada minit ke-82.

''Kita ternyata kurang pengalaman. Bulgaria mendedahkan kelemahan kita dari segi taktik, kekuatan mental dan kecergasan,'' katanya.

Rahman juga kecewa dengan persembahan beberapa pemain yang gagal bermain mengikut arahannya selain tidak dapat menyesuaikan diri dengan cepat apabila Bulgaria menukar corak permainan mereka pada separuh masa kedua. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4ProFd4K8 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan