Sabtu, 12 November 2016

Rahman rancang sekat kelincahan Korea

ARKIB : 01/02/1999
BANDARAYA HO CHI MINH - Malaysia merancang untuk mengekang kemaraan pemain tonggak Korea Selatan dalam usaha mencapai keputusan yang baik apabila kedua-dua pasukan berentap dalam perlawanan kumpulan B Bola Sepak Piala Dunhill kedua di sini, hari ini.

Jurulatih Abdul Rahman Ibrahim yang mempamerkan sebuah pasukan kebangsaan berwajah baru, bercadang mengekang kelincahan pemain tonggak lawan pada separuh masa pertama sebelum melancarkan serangan balas.

Korea Selatan mengalahkan China 3-1 manakala Malaysia seri dengan Bulgaria 1-1 dalam perlawanan pembukaan masing-masing, kelmarin.

Abdul Rahman berkata, yang membimbangkan ialah sama ada anak buahnya mampu melaksanakan arahan itu di atas padang berikutan pengalaman perlawanan ketika menentang Bulgaria.

''Saya boleh beritahu pemain supaya melakukan sesuatu tetapi bagi mereka untuk melaksanakannya ketika di atas padang merupakan perkara lain.

''Dalam perlawanan semalam, pemain tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan apabila Bulgaria menggunakan tiga penyerang pada separuh masa kedua,'' katanya.

Rahman mengakui bahawa Malaysia sukar untuk menandingi corak permainan pantas Korea tetapi berharap skuad negara mampu memperlahankan rentak permainan.

Malaysia yang berhasrat menimba pengalaman di sini, sudah pasti kehilangan pemain tengahnya, B. Rajnikandh untuk perlawanan hari ini berikutan penggantungan satu perlawanan selepas menerima kad merah kelmarin.

Bagaimanapun, Rahman mengakui mempunyai pengganti Rajnikandh yang berkaliber dan berita baik ialah kembalinya pemain pertahanan berpengalaman, Zami Mohammad Noor selepas sembuh daripada demam.

Sementara itu, jurulatih Korea, Hung Jung Moo berkata, beberapa pertukaran akan dibuat untuk perlawanan menentang Malaysia.

''Malaysia membawa pasukan senior dan mereka mempunyai pengalaman. Saya perlu membuat beberapa perubahan dalam pasukan,'' katanya.

Ketika ditanya sama ada perubahan itu dibuat kerana Malaysia sebuah pasukan yang lemah, jelasnya: ''Tidak, saya perlu memperkukuhkan pasukan saya. Peluang kami ke separuh akhir belum terjamin.''

Korea akan menempah tempat ke separuh akhir sekiranya mencapai kemenangan hari ini manakala Malaysia juga memerlukan mata untuk mencerahkan harapan.

Malaysia akan bertemu China dalam perlawanan terakhir mereka Rabu ini. - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PrmMXbHM © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan