Sabtu, 12 November 2016

Bola Sepak Piala Dunhill - Malaysia puas hati dapat seri

ARKIB : 31/01/1999
BANDARAYA HO CHI MINH - Malaysia terpaksa berpuas hati untuk seri 1-1 dengan Bulgaria pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Bola Sepak Piala Dunhill Kedua di Stadium Thong Nhat, semalam.

Kegagalan pemain negara menyerap tekanan dan hilang arah pada 10 minit terakhir memberikan ruang kepada Bulgaria untuk menyamakan kedudukan.

Malaysia menunjukkan permainan yang baik seperti diarah dengan menguasai perlawanan pada separuh masa pertama sehingga pemain dari Pulau Pinang, G. Shanmugam membuka jaringan pada minit ke-21.

Namun skuad negara bermain mengikut rentak lawan dan melakukan kesilapan yang membawa gol penyamaan Angel Stoykov pada minit ke-82 selepas mengutip umpanan silang Ivan Roussev.

Malaysia tidak menurunkan pemain pertahanan Zami Mohamad Noor kerana demam dan perlawanan pada separuh masa menyaksikan Bulgaria mula melancarkan gerakan mereka dari bahagian tengah.

Bulgaria yang cuma tiba kelmarin mengambil kesempatan daripada ruang yang tidak dikawal oleh Malaysia untuk melancarkan gerakan agresif.

Malaysia tidak bernasib baik apabila pada tiga minit terakhir, B. Rajnikandh dilayangkan kad merah apabila beliau menolak seorang pemain Bulgaria.

Pemain Bulgaria, Roussev juga menerima nasib yang sama pada minit ke-84 kerana mengasari Ahmad Shahrul Azhar.

Jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim berkata, anak buahnya melakukan terlalu banyak kesilapan dan kurang pendedahan antarabangsa.

''Kami gembira kerana mengutip satu mata tetapi pemain sebenarnya kurang cergas kerana berehat cuti Aidilfitri,'' kata Rahman.

Sementara itu Korea Selatan mengejutkan juara bertahan, China 3-1. Korea Selatan yang diwakili oleh skuad Olimpik kini mengutip tiga mata, diekori Malaysia dan Bulgaria yang seri 1-1.

Lee Dong Gook membuka jaringan, minit ke-25 sebelum menambah gol keduanya pada minit ke-52. Kim Dong Sun menjaringkan gol ketiga Korea pada minit ke-83.

China merapatkan jurang melalui Zhang Yuning pada minit ke-64 umpanan Wang Peng.

MALAYSIA: Azmin Azram Aziz, Ghani Malik (Mohd Noor Derus), B. Rajnikandh, Khairul Anuar Baharom, Anuar Jusoh, Yusri Che Lah, K. Sanbagamaran, Ahmad Shahruddin (Ahmad Shahrul Azhar), Moey Kok Hong (Shamsul Amri), G. Shanmugam, A. Ganesan.

BULGARIA: Jordan Gospodinov, Radoslav Komitov, Ivan Raitchew, Krassimir Tchomakov, Valentin Varadinov, Angel Stoykov, Elin Topuzakov, Petre Chopov (Stoyko Sakaliev), Nedko Milenov (Ivan Roussev), Stanislav Batchew, Miroslav Nokilov (Velizar Dimitrov). - Bernama

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0131&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4PrkboF8I © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan