Sabtu, 12 November 2016

Malaysia mampu atasi Bulgaria

ARKIB : 30/01/1999
BANDARAYA HO CHI MINH - Malaysia mempunyai peluang terbaik ke atas pasukan Bulgaria dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Dunhill Kedua di sini hari ini, tetapi jurulatih Abdul Rahman Ibrahim mempunyai pendapat yang berlainan.

Malaysia, dua tahun tidak menentu dalam arena antarabangsa, akan menghadapi pasukan Bulgaria yang tiba di sini lewat malam tadi.

Bulgaria, yang diwakili pasukan Olimpiknya, datang di sebuah negara sejuk akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di sini, dan ini akan menjadi kelebihan kepada Malaysia.

Bagaimanapun, Abdul Rahman pula berpendapat kesan cuaca hanya akan ketara kepada pasukan Bulgaria selepas 48 jam dan bukan dalam tempoh 24 selepas tiba.

''Sama ada anda datang awal atau lewat untuk pertandingan di tempat yang mempunyai cuaca berbeza... saya berpendapat mereka melakukan sesuatu yang betul, datang lewat,'' katanya semalam.

Berkaitan Bulgaria, Abdul Rahman berkata pasukan itu menggunakan cara permainan Eropah, yang disifatkannya lebih berkesan dan perlu ditangani oleh pasukan pertahanan yang mantap.

Memandangkan Malaysia tidak menyertai kejohanan antarabangsa selepas tahun 1997, Abdul Rahman mengakui pasukannya secara taknikal terkebelakang.

Abdul Rahman, 53, berkata tiga lawatan pertandingan ke Amiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lepas telah meningkatkan keyakinan para pemainnya untuk mempamerkan permainan yang baik.

Sementara itu, penyerang Zami Mohd. Noor akan diletakkan ke posisi lamanya sebagai bek kanan setelah Abdul Rahman memutuskan untuk mengekalkan barisan asal bagi menghadapi Bulgaria.

Abdul Rahman merancang untuk membariskan 11 pemain yang sama yang telah memenangi dua daripada tiga perlawanan ujian di Amiriah Arab Bersatu (UAE) bulan lepas.

Sambil menjangkakan saingan sengit daripada pasukan Bulgaria pada perlawanan pembukaan hari ini, Abdul Rahman memutuskan untuk meletakkan Zami, 26, yang tinggi itu di barisan belakang, posisi asalnya semasa skuad negara dibimbing oleh Wan Jamak Wan Hassan.

Abdul Rahman berkata beliau terpaksa menukar Zami bagi mengambil tempat Mohd. Noor Derus kerana pemain pertahanan yang tinggi dan kuat diperlukan untuk menghadapi serangan pemain Bulgaria.

Beliau juga berkata Zami akan bertindak sebagai ketua pasukan pada perlawanan esok dan tugas itu akan digilirkan antara pemain senior K. Sanbagamaran dan B. Rajnikandh pada dua lagi perlawanan seterusnya dengan Korea Selatan dan China.

Abdul Rahman menggugurkan Faizal Zainal pada perlawanan esok kerana pemain pertahanan berusia 24 tahun itu mengalami ketegangan urat semasa menjalani latihan.

''Dia dikeluarkan bagi satu perlawanan sahaja ... barisan belakang kita masih kuat tanpa Faizal,'' kata Abdul Rahman.

Dalam perlawanan di UAE, Malaysia kalah 2-0 kepada Ventspils dari Latvia dan menang dua perlawanan menentang kelab-kelab UAE, Al-Ahli (4-3) dan Al-Shabab 1-0.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PrfBlk1n © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan